BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanyakan tentang status kenyataan daripada suami.

Suami

"Kalau syg nak marah b sebab mak tu terpulang kat syg...

kalau syg tidak suka syg boleh pergi b tiada masalah."

 

Isteri

"Ayat ni maksudnya bie pulangkan syg pada family syg ke?"

 

Suami

"Kalau sebab mak b syg nak marah xpe angkat kaki..."

 

Jujurnya saya marahkan suami. Mak dia pula banyak kepada terasa hati dan pada hari keluarnya kenyataan tu, saya ada rasa sedikit marah pada mak suami. Tapi marah yang banyaknya kepada suami.

 

Jadi bagaimana ya? Suami kata kalau saya marahkan mak dia, saya boleh pergi tanpa ada masalah pun bagi dia dan boleh angkat kaki.

 

Adakah bermaksud suami lepaskan saya atau ada niat untuk lepaskan saya? 

 

Ini jawapan suami selepas saya tanya maksud yang disampaikan

 

"kalau sebab family b syg tidak suka syg tinggalkan je b...tak apa b tiada masalah

bagi b mak lagi penting dari orang lain

Bagi b mak no 1 dalam hidup b..."

 

Saya bertanya untuk ambil langkah seterusnya sebab dalam perkahwinan, jika tiada lagi kasih sayang, rasa tanggungjawab, ianya membawa kepada dosa sahaja. Maksudnya kadang bukan pahala yang diterima, malah lebih kepada dosa. Sebab bila suami berkata begini menunjukkan memang dia sudah tidak berniat untuk pertahankan hubungan keluarga ini. Jujurnya niat seorang isteri tidak diambil kira akan tetapi kenyataan tersebut dikeluarkan oleh suami bila mana dia tahu saya marahkan mak dia.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, lafaz tersebut merupakan lafaz kinayah yang memerlukan kepada niat. Hal ini kerana lafaz tersebut boleh membawa maksud selain dari talak. Oleh itu, sekiranya suami tidak berniat talak, maka tidak jatuh talak. Selain itu, terdapat perkataan 'kalau' yang diucapkan oleh suami menunjukkan lafaz itu tidak cukup syarat untuk dianggap sebagai lafaz talak. Walau bagaimanapun, puan boleh merujuk kepada Jabatan Agama Islam untuk mendapatkan pengesahan.

Berkenaan isu anak lelaki yang lebih mengutamakan ibunya:

Anak lelaki wajib mentaati ibunya sebagaimana seorang isteri wajib mentaati suaminya. Ketaatan ini tidak bersifat mutlak, tetapi ketaatan ini wajib jika arahan tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sebagai contoh dalam isu nafkah, suami perlu mendahulukan isterinya berbanding ibubapanya. Imam al-Syaukani menyebut: "Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibubapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibubapa"

Kesimpulannya, hubungan kekeluargaan perlu dibina atas dasar toleransi antara satu sama lain. Perkara ini perlu diselesaikan dalam bentuk musyawarah dan perbincangan yang baik bagi memastikan keharmonian rumah tangga.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 58

message user image