Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
APAKAH HUKUM JIKA SESEORANG ITU MENYAMAKAN DAGING LEMBU YG HALAL SAMA RASA DENGAN DAGING BABI?
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد
Kita sebagai umat Islam dituntut untuk memakan makanan yang halal dan menjauhi makanan yang haram. Daging lembu, umum mengetahui ianya adalah halal. Akan tetapi berbeza situasi apabila sesuatu yang halal disamakan dengan benda yang haram.
Berdasarkan soalan yang diajukan, jika yang dimaksudkan adalah ketika makan daging lembu lalu dikatakan rasanya seperti daging babi, maka ia tiada masalah dan harus jika sekadar menyatakan kesamaan. Jika bertujuan menghina makanan maka ia adalah makruh kerana Nabi SAW tidak mencela makanan.
Jika yang dimaksudkan pada soalan yang diajukan adalah membuat daging lembu sama rasa dengan rasa daging babi, atau mengganggap daging lembu yang dimakan itu adalah daging babi, maka ia dilarang dan haram hukumnya. Ini kerana memakan daging babi adalah perbuatan orang kafir dan fasiq. Kita dilarang untuk mengikuti atau menyerupai sesuatu perbuatan kaum yang fasiq dan tidak baik. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:
من تشبه بقوم فهو منهم
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka dia sebahagian daripada kalangan kaum tersebut. (Riwayat Abu Daud)
Kata al-San'ani berkenaan hadis ini "hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai orang-orang yang fasiq maka dia sebahagian daripada orang-orang yang fasiq. Begitu juga dengan menyerupai orang-orang kafir dan ahli bid'ah". (Subulus Salam)
Maka, kita dilarang memakan dan juga menyamakan rasa daging lembu menjadi seperti rasa daging babi supaya tidak menyerupai orang kafir dan fasiq. Ini juga bertujuan agar kita tidak terjeremus ke dalam perkara yang haram akan datang.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 36