BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Anak Perempuan saya sedang belajar AlQuran di pusat Tahfiz, saya dimaklumkan pelajar-pelajar perempuan dibenarkan memegang dan membaca Kitab suci Al Quran (Bukan tafsir) ketika dalam keadaan uzur( Haid). Mohon pengesahan jabatan mufti berkenaan Hukum dalam masalah ini.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, bagi pelajar tahfiz yang membaca dan memegang al-Quran ketika haid, terdapat dua pandangan yang masyhur iaitu: Pertama : Jumhur ulamak berpandangan melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan mereka yang sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar RA: لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ Maksudnya : “Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.” (Riwayat al-Tirmizi) Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijjaz dan riwayatnya adalah dhaif. Kedua : Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar. Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya kepada mereka yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid. Ianya juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz al-Qur’an untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupai hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid. Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur. Satu pendapat yang dikemukakan oleh mantan Syeikh al-Azhar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-Fatawa. Beliau menyatakan keharusan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Qur’an dan membacanya ketika haid atas faktor peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 210

message user image