BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum tuan Mufti,

HUKUM MENIPU UNTUK MENDAPATKAN KEBENARAN MENGGUNAKAN WIFI DAN HUKUM HASIL DARIPADA PERNIAGAAN DENGAN MENGGUNAKAN WIFI TERSEBUT 

1. Berdasarkan tajuk di atas, saya telah meminta kebenaran daripada jiran saya untuk menggunakan wifi beliau, akan tetapi saya telah menipu dengan berkata untuk buat assignment sedangkan assignment tersebut tiada. Jadi jiran saya pun memberikan password untuk menggunakan wifi beliau. Saya terdesak untuk menggunakan wifi tersebut kerana saya menjalankan pernigaan secara online, dan kawasan saya tidak mempunyai signal yang bagus untuk menjalankan sebarang aktivi dalam talian.

2. Apakah hukum saya menggunakan wifi jiran saya ?

3. Apakah hukum hasil daripada perniagaan yang saya perolehi adakah halal atau haram dan adakah tergolong dalam mengambil hak batil orang lain kerana saya menggunakan wifi beliau ?

4. Adakah dengan menggunakan wifi tersebut untuk tujuan perniagaan, dan hasil yang saya perolehi daripada perniagaan tersebut tergolong dalam golongan yang mengambil hak batil orang lain ?

5. Adakah wifi juga tergolong dalam golongan hak batil ?


Segala pencerahan amat saya kasihi,

Terima kasih tuan Mufti,


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1 dan 2: Hukum menggunakan wifi jiran tanpa keizinannya atau menipu dalam bermuamalat adalah haram. Seharusnya tuan tidak sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan wifi yang diberi keizinan untuk assignment tetapi menipu dengan menjalankan perniagaan tertentu dan bahkan mengambil keuntungan dari penipuan ini. Dalam konteks ini, perbuatan ini boleh disamakan dengan mencuri harta orang lain iaitu menggunakan harta dengan secara batil.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).

Juga sabda Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.

(Riwayat al-Daruqutni)

Seharusnya tuan perlu berterus-terang dengan jiran tersebut dan menyelesaikan dengan cara yang baik kerana perbuatan ini seolah-olah telah mengambil hak orang lain dengan cara yang batil (penipuan).

3. Hasil yang diperolehi daripada penggunaan wifi tersebut adalah sah, namun terdapat syubhah yang boleh menjadikan hasil tersebut tidak barakah.

4. Hasil yang diperolehi adalah sah milik saudara, cuma penggunaan wifi itu secara menipu boleh dianggap sebagai mengambil hak orang lain secara batil atau salah.

5. Ya, jika diambil atau digunakan tanpa kebenaran atau dengan cara menipu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 33

message user image