BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Apakah hukum bagi sesuatu ibadah yang baru diketahui hukum sebenarnya,seperti contoh saya baru tahu subuh perlu diniat qadha jika sengaja tidur pada waktu subuh sedangkan selama ini saya berniat tunai,dan soalan kedua,sahkah solat jika menerima mazhab berlainan dalam satu ibadah mengikut keadaan,seperti contoh,saya mengambil pandangan imam hanifah dalam tidak perlu membaca fatihah bagi makmum,kerana saya mempunyai masalah was-was melampau,jazakallah


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Secara asasnya, sesuatu ibadah khususnya solat yang ditinggalkan secara sengaja diwajibkan qadha semula. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَنْ ‌نَسِيَ ‌صَلَاةً ‌أَوْ ‌نَامَ ‌عَنْهَا، فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا

Maksudnya: Sesiapa yang terlupa atau tertidur daripada menunaikan sesuatu solat, maka kaffarahnya (tebusannya) ialah dia hendaklah menunaikan solat tersebut apabila dia mengingatinya. (Riwayat Muslim)

Namun begitu, bagi keadaan seseorang yang tidak mengetahui hukumnya seperti melafazkan niat secara tunai dalam solat yang perlu diqadhakan, maka perbuatan tersebut adalah dimaafkan dan tidak perlu mengulangi solatnya semula.

Adapun bagi persoalan yang kedua pula, mengambil pandangan mazhab yang lain dalam urusan ibadah boleh dianggap sebagai talfiq. Talfiq mazhab hanya dibenarkan seandainya terdapat darurah atau hajat. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya tatabu' al-rukhas atau bersenang-senang dengan mengambil pandangan yang mudah dari mazhab yang berbeza.

Menurut mazhab Shafi'i wajib bagi makmum untuk membaca Surah al-Fatihah pada setiap rakaat solat, sama ada solat yang dibaca nyaring atau perlahan, kecuali bagi makmum yang masbuk. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada 'Ubadah bin Samit RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: Tidak (sah) solat bagi orang yang tidak membaca fatihah al-kitab (yakni Surah al-Fatihah). (Riwayat Al-Bukhari)

Justeru, dalam keadaan ini diwajibkan kepada kita berpegang kepada mazhab Shafi'i sebagai satu anutan mazhab utama di Malaysia iaitu membaca al-fatihah ketika solat berjemaah bersama imam sekalipun dihinggapi penyakit was-was. Orang yang was-was perlu menghindari penyakit ini kerana ia adalah bisikan daripada syaitan yang suka mengganggu keyakinan anak Adam. Was-was juga tidak dikategorikan sebagai penyakit yang membawa kepada hajat dan darurat. Oleh itu, kami nasihatkan agar berpegangan dengan ketetapan yang terdapat dalam pandangan muktamad bagi mazhab Shafi'i iaitu membaca al-fatihah ketika solat berjemaah bersama Imam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 43

message user image