BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum...

Saya ingin bertanya utk anak lelaki saya untuk berbinkan ayah kandung iaitu saya sendiri(melalui Zina) kerana sekarang anak lelaki saya berbinkan 99 nama Allah. Apa yang saya faham jika anak dilahirkan sebelum cukup 6 bulan perkahwinan anak dikira anak tidak sah taraf. Tetapi saya sebagai ayah kandungnya saya  ingin berbinkan saya sendiri walaupun saya tahu tidak boleh dinasabkan. Cuma saya mahu berbinkan saya sebagai bapa kandungnya kerana mahu menjaga maruah anak saya yang semakain hari semakin membesar.  Saya berkahwin 19/8/2009 dah isteri saya telah melahirkan anak saya pada 28/1/2010.

Adakah ada sebarang cara atau penyelesaian untuk saya mendaftar untuk berbinkan saya sama ada melalui mahkamah/JPN? Jika boleh saya sendiri akan uruskan pendaftarannya untuk berbinkan saya sebagai ayah kandungnnya dengan kehendak dan kerelaan saya sendiri.

 

Mohon penjelasan dan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 (“Muzakarah Fatwa Kebangsaan”) yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  1. Anak Tak Sah Taraf ialah: Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Dan berdasarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor bertarikh 17 Januari 2005 telah memutuskan bahawa  sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara’ ialah :

  1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara’.
  2. Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.
  3. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu “Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara

Berdasarkan dua keputusan fatwa di atas jelas menyatakan bahawa anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Keputusan ini juga menjadi rujukan dan panduan yang diguna pakai oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam mendaftarkan kelahiran mana-mana anak di dalam catatan surat beranak kanak-kanak tersebut.

Walaubagaimana pun, memandangkan perkara ini adalah bidangkuasa pihak JPN, maka tuan boleh merujuk kepada mana-mana pejabat JPN yang terdekat untuk memohon pandangan atau budibicara bagi permasalahan yang tuan hadapi.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 55

message user image