BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, boleh tak tuan bagitau saya siapa yg Menyeru pada Hadis Sahih Bukhari 3887 ?

Apabila aku berlalu ada suara yang menyeru : Aku telah jalankan kewajipanku dan Aku telah kurangkan bebanan hamba-Ku.

Maksud Hadis di atas saya ambil dari Mufti Wilayah Persekutuan

Mohon Tuan Terangkan kepada saya,adakah itu Allah yang menyeru ? dan kenapa guna perkataan SUARA dan Kewajipanku ? Saya keliru dan tak nak menyamakan Allah dengan Mahluk . 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berikut adalah potongan hadis dan maksudnya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ: فَلَمَّا جَاوَزْتُ نَادَى مُنَادٍ: ‌أَمْضَيْتُ ‌فَرِيضَتِي، وَخَفَّفْتُ عَنْ عِبَادِي

Maksudnya: Nabi SAW bersabda: Apabila aku berlalu ada seruan yang menyeru: Aku telah melaksanakan (menyampaikan) kefarduan-Ku (kewajipan solat) dan Aku telah ringankan (perintah solat) bagi hamba-hamba-Ku.

Benarlah bahawa Allah SWT tidak sama dan tidak boleh disamakan dengan makhluk. Baik daripada segi zat mahupun sifat Allah SWT. Dalam hadis tersebut menggunakan kalimah (نادى مناد) yang bermaksud ada seruan yang menyeru. Yang menyeru pada hadis ini adalah Allah SWT seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dan al-Qustallani. Allah SWT boleh menyeru hamba-hambanya tanpa suara. Tidak disebutkan dalam lafaz hadis itu menyeru dengan suara (بصوت) bahkan yang disebut hanyalah sebuah seruan. Maka terjemahan seruan dengan suara adalah tidak tepat. Bahkan menurut al-Qustallani dan pengarang kitab Mirqah al-Mafatih hadis ini membuktikan sifat Kalam Allah SWT. Dan seperti yang kita ketahui melalui akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa sifat Kalam Allah SWT tidak sama dengan makhluk. Kalam makhluk bersuara dan berbentuk.

Seterusnya bagi ungkapan "melaksanakan kefarduan-Ku" bermaksud Allah SWT telah menyampaikan kefarduan atau kewajipan solat kepada Nabi Muhammad SAW serta umatnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

                                                                               


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 26

message user image