BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya kerja sebagai penghantar makanan, kadang kadang tu bila dapat order makanan yang ada topping babi, tetapi isi makanan itu hanya diketahui selepas terima order, saya nak decline, tapi kalau saya decline order, khuatiri boleh menyebabkan saya dibuang kerja. Sebagai contoh saya perlu menghantar makanan seperti mee tetapi mempunyai isi daging babi, manakala makanan yang lain adalah halal, dalam satu sesi penghantaran tersebut. Saya cuba mencari pekerjaan sementara yang lain tapi tak dapat. Buat masa ini, ini sahaja sumber pendapatan yang boleh saya lakukan. saya check di mufti perlis hukumnya harus, tapi tak silap saya kita kena ikut pendapat mufti tempat tinggal kita? Jadi mohon pencerahan dari pejabat mufti selangor.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, rezeki yang halal datangnya dari jalan yang halal dan tidak syubhah. Walaupun tidak menjual namun terlibat dalam penghantaran makanan yang rata-ratanya adalah haram dan juga syubhah, maka wang yang diterima akan terkesan syubhah jua. Hal ini telah disepakati bahawa daging babi atau khinzir adalah haram di sisi syarak. Justeru, jika diketahui bahawa makanan yang dihantar itu berunsurkan haram seperti terdapat daging babi, maka hukum menghantar makanan tersebut adalah haram oleh kerana perkara tersebut dilihat seolah-olah membantu kepada perkara maksiat. Berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat ke-2: 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ 

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. 

Namun begitu, tuan sebaiknya mencari alternatif atau pekerjaan lain yang halal yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Tuhannya atau memilih untuk menghantar makanan atau produk yang jelas tidak mengandungi unsur-unsur syubhah atau sebarang keraguan seperti memilih HALAL FLEET sebagaimana yang ditawarkan dalam perkhidmatan grabfood. Adapun jika hal itu adalah sesuatu yang mendatang atau berlaku secara tiba-tiba dan tidak dapat dielak sedangkan asas pekerjaannya melibatkan pemindahan atau penghantaran benda-benda yang baik  (yakni yang halal), maka diharapkan tugasan ini mendapat pengampunan daripada Allah SWT dengan syarat dia mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang diharamkan itu untuk digunakan bagi kepentingan atau maslahat umat Islam. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 62

message user image