BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

 

Saya nak bertanya tentang isu rumahtangga yang saya hadapi baru-baru ni bertarikh 21.5.2024. Saya dapat tahu suami saya curang melalui suami kepada perempuan yang curang dengan suami saya. Dan perempuan tersebut telah pun bercerai dengan suaminya pada 9.6.2024. Antara sebab berlakunya penceraian adalah sememangnya masalah suami isteri tersebut dan tercuit sikit dari suami saya. Makna kata sebab rasa ada orang yang boleh bagi kasih sayang pada dia iaitu suami saya dan suami saya ingin menghalalkan perempuan tersebut dan sudah pasti saya tak mengizinkan perkahwinan tersebut. Perempuan tersebut ada bercerita masalah rumahtangganya pada suami saya dan mereka satu tempat kerja. ustazah..

persoalan saya.

1. Hukum saya menolak berpoligami atas sebab saya tak mampu menerima dan lemah. saya takut derhaka pada Allah dan derhaka pada suami. sebab saya memang tak mampu menerima. dan hukum saya memohon penceraian

2. Apakah hukum wanita tersebut dan suami saya? setelah berbuat sedemikian? ya Allah ustazah.. kadang malu saya. sebab saya ada waktu dan ketika hilang sabar. sehinggakan saya mesej perempuan tersebut. 3 minggu sebelum ni saya dapat tahu suami saya ade keluar dengan perempuan tu bertemankan seorang lagi rakan pejabat. sebab itulah saya makin hilang sabar. sedangkan perempuan itu masih dalam eddah. 

3. Apakah dosa saya yang terlalu mengikut perasaan. dan tidak brsabar. ada waktu saya tenang. ada waktu saya tak tenang. adakah saya dianggap tidak menerima ujian? saya takut sangat ustazah, takut tidak dipandang oleh Allah. sungguh.. saya selalu merasa bersalah selepas sesuatu benda yang saya buat. saya nak Allah bantu tapi saya macam ni. normal ke saya bersikap begini ataupun sy sepatutnye lebih bersabar.

4. Seandainya mereka berkahwin apakah hukum perkahwinan mereka? 

TERIMA KASIH

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:

1. Kebenaran poligami bagi pihak lelaki adalah suatu ketetapan daripada Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Walau bagaimanapun, kebenaran itu adalah bersyarat iaitu lelaki tersebut mestilah mempunyai kemampuan dari sudut harta, mampu berlaku adil dan sebagainya. Seorang isteri boleh menolak suami yang ingin berpoligami sekiranya sebab penolakan itu adalah berdasarkan sebab-sebab syarie seperti suami tidak mampu berlaku adil, suami tidak mampu dari sudut kewangan dan juga tanggungjawab yang lain. Adapun menolak poligami atas dasar perasaan dan emosi semata-mata, maka ia tidak dibenarkan.

2. Hubungan antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan yang sah adalah jelas haram dan dilarang. Oleh itu, perkara tersebut merupakan suatu kemungkaran. Berdasarkan panduan yang dijelaskan oleh Nabi SAW, sekiranya mampu mencegah dengan tangan (kuasa), maka cegahlah. Jika tidak mampu maka cegah dengan lidah melalui cara nasihat dan teguran. Sekiranya tidak mampu, maka cegahlah dengan hati iaitu dengan membenci perbuatan tersebut. Dari sudut hukum syarak, wanita iddah tertakluk kepada hukum-hakam tertentu antaranya adalah tidak boleh berkahwin sehingga tamat tempoh iddah. Antara lain, perbuatan memberi 'signal' ingin berkahwin dengannya, atau melamar secara berkias, tidak secara berterus terang, adalah dibenarkan sekiranya wanita itu di dalam tempoh iddah kematian suami berdasarkan Firman Allah SWT:

 وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِي أَنفُسِكُمْ

Maksudnya: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). 

Walau bagaimanapun, haram bagi seseorang lelaki melamar atau menzahirkan keinginan untuk mengahwini seseorang wanita di dalam tempoh iddah talak raj'i, sama ada secara berterus terang atau secara berkias.

Namun begitu, melamar seorang perempuan tidak bermaksud boleh keluar secara berdua-duaan, berkhalwat dan hendaklah tertakluk kepada hukum syarak.

3. Allah SWT memberikan ujian kepada hamba-Nya mengikut kadar kemampuan seseorang. Ketahuilah ujian Allah adalah bertujuan meningkatkan darjat seseorang, dan mengampunkan dosa seseorang jika dia bersabar dengan ujian tersebut. Kehidupan di dunia ini secara lumrahnya dipenuhi dengan pelbagai ujian. Setiap individu menerima ujian yang berbeza-beza serta setiap satu darinya mempunyai hikmah yang tersendiri.

4. Sekiranya mereka berkahwin dengan mengikut prosedur dan tatacara yang betul, maka perkahwinan mereka adalah sah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 51

message user image