BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum panel-panel jawab yang dihormati. Mohon soalan saya dijawab kerana saya memerlukan jawapan yang perlu diterima tanpa ragu-ragu oleh sahabat saya yang ingin mengetahui apa yang patut dilakukan.

Soalan :

Jika seseorang pernah meniru di dalam peperiksaan & berbincang ketika kuiz ketika di pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda (untuk makluman pengajian di universiti tidak 100% markah bergantung kepada peperiksaan, namun ada pecahan peratus kepada kerja kursus, presentation, kehadiran, kerja lapangan dan lain-lain). Apa hukum jika atau seandainya meneruskan pengajian dengan keputusan yang telah didapat kepada peringkat yang seterusnya? seperti memohon tajaan kerajaan dalam pengajian diploma lepasan ijazah bagi membolehkan menjadi pendidik namun diploma lepasan ijazah tersebut ditanggung penuh oleh kerajaan dan ada ujian untuk mendapatkan tempat pengajian diploma tersebut seperti ujian ukcg 120 soalan dan temuduga fizikal, temuduga sebelum layak untuk mendapat tempat ditaja diploma tersebut. Apakah hukumnya? adakah dibolehkan beliau menggunakan ijazah tersebut untuk memohon tawaran kerajaan bagi program diploma lepasan ijazah yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan? dan beliau nekad akan meneruskan pengajian yang ditaja dengan jujur sepenuhnya. Mohon diberikan pandangan. Saya maklum jika menggunakan ijazah tersebut untuk kerja dibolehkan akan tetapi apa hukum untuk menggunakan untuk teruskan pengajian yang ditaja. Mohon dijawab dengan segera jika tidak keberatan. Moga pihak Jabatan Mufti sentiasa dirahmati Allah swt sentiasa. Allahu musta'an.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Perbuatan meniru dalam peperiksaan dan berbincang ketika kuiz adalah perbuatan pecah amanah. Seorang pelajar atau mahasiswa diamanahkan supaya tidak menipu atau meniru ketika peperiksaan dan sebagainya. Pecah amanah hukumnya adalah haram. Hal ini seperti yang pernah ditegaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

آيةُ المُنافِقِ ثلاثٌ: إذا حدَّثَ كذَبَ، وإذا وعَدَ أخلَفَ، وإذا ائْتُمِنَ خان

Maksudnya: Tanda-tanda orang munafik ada tiga. Jika dia berkata dia berdusta. Jika dia berjanji dia mungkiri. Jika dia diberikan amanah dia khianati.

Maka, perbuatan meniru ketika peperiksaan dan yang berkait dengan perbauatan menipu sebegini adalah berdosa kerana mengkhianati amanah sebagai seorang pelajar. Walau bagaimanapun, tiada masalah meneruskan pengajian pada peringkat seterusnya kerana sijil ijazah sebelum ini telah disahkan. Perbuatan sebelum ini tidak menjejaskan sijil diploma lepasan ijazah yang mahu diambil dan tajaan tersebut. Bahkan boleh menggunakan sijil diploma tersebut untuk tujuan kerja. Akan tetapi, dinasihatkan supaya banyakkan beristighfar, bertaubat dan bersedakah supaya memperoleh keberkatan daripada tajaan yang diterima. Berazamlah untuk tidak melakukan perkara sebegini lagi bagi memperoleh keberkatan daripada Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 37

message user image