BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Masalah.

Seorang perempuan yang kematian suaminya, yang mana suaminya ketika akhir usianya sudah terlantar atau sakit mental sejak beberapa tahun dan tidak pernah melakukan hubungan dan tidur bersama.* Masalahnya:

1. Wanita tersebut terpaksa keluar rumah untuk menghantar anak kesekolah pada waktu siang dan malam.

2. Wanita tersebut merancang untuk pergi menghantar rombongan pengantin anak perempuannya di tempat yang memerlukan penginapan selama beberapa malam.

*Soalan 1 & 2 berkaitan cerita diatas.

Persoalan.

1. Adakah illah/kelonggaran yang boleh mengharuskan.

2. Apakah hukum keatas perubatan tersebut.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Wanita yang kematian suami wajib beriddah selama 4 bulan 10 hari berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 234:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.

Merujuk kepada permasalahan yang dikemukakan, hukum bagi wanita yang beriddah keluar bekerja dan mendapatkan keperluan hidupnya seperti keluar bekerja, ke klinik atau ke kedai untuk membeli makanan adalah harus, dengan syarat wajib berihdad (berkabung) iaitu meninggalkan perkara berikut;-

  • Pakaian yang menarik perhatian

  • Wangian

  • Solekan

  • Perhiasan 

1. Bagi wanita dalam iddah yang keluar rumah menghantar anak ke sekolah juga adalah harus kerana itu tugas yang perlu digalas kerana ketiadaan suami. Sebaiknya keluar pada waktu siang. Jika terpaksa hantar anak ke sekolah pada waktu malam, hendaklah terus balik ke rumah tanpa bermalam di mana-mana tempat. 

Mujahid meriwayatkan bahawa ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda:

تحدثن عند إحداكن ما بدا لكن فإذا أردتن النوم فلتؤب كل امرأة منكن إلى بيتها

Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi)

Berdasarkan hadis ini, wanita yang dalam ihdad dan iddah tidak boleh bermalam di rumah orang lain dan tidak boleh keluar rumah pada waktu malam kecuali jika dharurat (terpaksa). Ini kerana keadaan waktu malam yang tidak selamat berbanding waktu siang. 

2. Rancangan wanita tersebut untuk menghantar rombongan pengantin anak perempuannya adalah dilarang kerana ia bukan perkara darurah dan boleh diwakilkan kepada orang lain.

Untuk keterangan lanjut berkenaan isu ini boleh layari link berikut:-

https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/17/6-taudih-al-hukmi-hukum-keluar-bekerja-bagi-wanita-beriddah-kematian-suami/ 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 47

message user image