BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum... Saya nk tanya satu soalan...dalam Islam. boleh kah suami ini mencurigai kepada isterinya... Adakah curiga ini jatuh kepada fitnah. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, curiga bermaksud perasaan meragui atau kurang mempercayai terhadap seseorang. Sedangkan fitnah itu menuduh atau mengatakan seseorang melakukan sesuatu sedangkan orang itu tidak melakukannya. Perasaan curiga boleh membawa kepada fitnah sekiranya membuat suatu tuduhan yang tidak benar kepada seseorang.  

Dalam Islam, hubungan suami isteri seharusnya dibina atas dasar kasih sayang dan saling mempercayai. Mencurigai pasangan, terutama tanpa bukti yang kukuh dan sahih, boleh membawa kepada masalah dalam rumah tangga. Islam sangat mementingkan husnuzan (bersangka baik) dalam hubungan antara manusia, lebih-lebih lagi dalam hubungan suami isteri. Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 12, menegaskan agar kita menjauhi banyak sangkaan, kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱجۡتَنِبُوا۟ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمࣱۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا یَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَیُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن یَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِیهِ مَیۡتࣰا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابࣱ رَّحِیمࣱ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Jika seorang suami mempunyai keraguan dengan bukti yang sahih terhadap isteri, maka berbincanglah secara terbuka dan berlemah lembut untuk mencari penyelesaian. Namun, jika suami mencurigai isteri hanya kerana cemburu, atau rasa tidak yakin tanpa bukti atau alasan yang munasabah, maka ia boleh menjadi dosa dan tidak adil kepada isteri.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 53

message user image