BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya mempunyai pertanyaan berkenaan dengan hukum melancong ke negara yang mempunyai hubungan diplomatik/ketenteraan yang baik dengan Israel. Situasinya, saya merancang mahu melancong/berjalan jalan makan angin ke thailand. Jika diteliti, thailand mempunyai hubungan ketenteraan yg baik dgn israel. Jika melibatkan ketenteraan, sudah tentu ia mempunyai hubungan dengan saudara kita di Palestin. Cuma tidak dapat dipastikan sekiranya thailand menghantar bantuan ketenteraan secara terus ke israel untuk memerangi palestin atau sekadar pertukaran teknologi bersama. Soalan saya, apakah hukum melancong ke thailand dengan niat hanya mahu berjalan jalan, membantu ekonomi org islam di sana tanpa ada niat mahu bersekongkol dgn hubungan baik kerajaan mereka bersama israel. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Islam menggalakkan umatnya untuk melancong (musafir). Terdapat beberapa ayat Al-Quran berkaitan melancong atau mengembara. Firman Allah SWT di dalam surah al-Mulk ayat 15:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Bermaksud: Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah.

Dengan melancong banyak manfaat dan iktibar yang dapat dipelajari, selain dapat menyaksikan tentang kebesaran Allah SWT, ia juga boleh mendapat pengajaran bagaimana sesuatu tamadun dapat dicapai, serta kesan-kesan keruntuhannya akibat kemurkaan Allah SWT. Oleh yang demikian, hukum melancong adalah harus. Namun ia boleh menjadi haram apabila aktiviti dan destinasi perlancongan itu berkaitan dengan perkara yang diharamkan seperti menuju ke tempat-tempat perjudian dan sebagainya.

Justeru, pelancongan ke Thailand adalah harus selagimana masih dalam tujuan yang harus dan aman daripada sebarang fitnah. Meskipun Thailand merupakan negara yang mempunyai hubungan diplomatik bersama Israel, namun tiada tegahan secara qat'ie menurut hukum syarak. Akan tetapi, umat Islam dituntut melaksanakan pemboikotan terhadap apa jua perkara yang boleh merencam perkembangan ekonomi Israel sama ada daripada segi produk, pelancongan dan sebagainya. Isu pemboikotan adalah perkara yang bersifat kemanusian, maka ia seharusnya ditangani dengan melihat kepada maslahah dan mafsadah bagi sesuatu perkara. Bahkan ia juga perlu ditangani secara adil dan bukan hanya sekadar beremosi.

Boleh rujuk artikel berikut berkenaan hukum boikot menurut perspektif Islam:
https://www.muftiselangor.gov.my/2024/01/11/40-taudhih-al-hukmi-boikot-menurut-perspektif-islam/

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 38

message user image