BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya. Sebelumnya saya pernah bertanya mengenai hukum menggunakan sijil yang bercampur unsur penipuan untuk menyambung pelajaran. Saya telah bertanya soalan yang sama ke website ulama dari negara lain, mengenai hukum menggunakan sijil sekolah menengah yang saya tidak pasti saya layak mendapat kannya atau tidak sekiranya saya tidak meniru, dan beliau menjawab yang perbuatan saya berdosa dan menipu pihak universiti. Oleh itu, mereka mencadangkan saya untuk mengambil kertas ulangan supaya keputusan baru saya menggambarkan keupayaan sebenar saya. Jadi, adakah lebih baik saya melakukan perkara sedemikian? Kerana saya mempunyai kerisauan sekiranya saya berkemungkinan gagal dalam beberapa subjek yang saya telah meniru itu sekiranya saya tidak meniru. Memandangkan ianya sudah beberapa tahun, jadi saya agak sukar untuk memastikan sepenuhnya jika saya hanya meniru pada soalan yang saya ingat sahaja. Itu sahaja soalan saya.


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, perbuatan meniru dalam peperiksaan termasuk dalam perbuatan menipu dan perbuatan menipu adalah haram serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami. (Riwayat Muslim)

Justeru, meniru di dalam peperiksaan termasuk di dalam penipuan yang tergolong dari dosa-dosa besar. Namun jika sekiranya ia sudahpun berlaku, dan pelakunya juga menginsafi akan perbuatannya tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi, di samping mampu melaksanakan tugas kerjanya dengan sempurna, maka hendaklah pelakunya itu bertaubat dengan taubat nasuha dan berazam untuk tidak mengulanginya semula selama-lamanya. Adapun dosa yang lalu seperti menipu dalam peperiksaan, moga-moga Allah SWT telah mengampunkan dosa yang lalu tersebut setelah tuan menginsafi akan perbuatan itu. Perkara ini seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 95:

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ

Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu. 

Oleh itu, kami juga ingin menasihatkan supaya tuan memperbanyakkan amalan-amalan kebajikan dan beristighfar sebagai pengampun dosa yang telah dilakukan kerana sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang segera bertaubat kepada Allah SWT. Di samping itu, tuan tidak perlu mengulang semula peperiksaan yang telah lalu tersebut, anggaplah ia sebagai pengajaran bagi diri tuan supaya tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi masa akan datang dan moga-moga Allah SWT mengampunkan dosa tuan yang lalu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 34

message user image