Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukumnya seorang khatib turun dari mimbar seketika ketika sedang membaca khutbah sekiranya gadjet yang digunakan untuk membaca teks khutbah kehabisan betri dan pergi mengambil gadjet yg lain? dan terus menyambung khutbah tanpa mengulang semula khutbah tersebut.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Khutbah Jumaat adalah ucapan yang dibaca dan disampaikan sebanyak dua kali berturut-turut (Al-muwalat) oleh khatib sebelum menunaikan solat Jumaat dan ianya dianggap sebagai pengganti dua rakaat lagi solat Zohor. Tanpanya solat Jumaat menjadi tidak sah. Ia mengandungi kata-kata pujian terhadap Allah, ilmu dan nasihat, serta pengajaran kepada jemaah yang datang solat Jumaat pada hari tersebut.
Syarat-syarat sah khutbah adalah seperti berikut:
1. Mukallaf: Islam, berakal dan baligh.
2. Khatib hendaklah berdiri sekiranya berkemampuan berbuat demikian.
3. Khatib hendaklah duduk selepas khutbah yang pertama.
4. Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar.
5. Khatib hendaklah menutup aurat.
6. Khutbah hendaklah dibaca berturut-turut tanpa diselangi oleh masa yang lama tanpa sebarang sebab.
7. Rukun-rukun khutbah hendaklah dibaca dalam bahasa Arab.
8. Khutbah dilaksanakan sesudah masuk waktu zohor.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan. Perbuatan khatib adalah harus disebabkan perbuatan mengantikan gadjetnya yang kehabisan bateri dapat membantunya menghabiskan bacaan khutbah dengan syarat ia dilakukan dengan segera dan tidak mengambil masa yang panjang. Jika ia dilakukan dalam tempoh masa yang panjang, ia boleh menyebabkan khutbah tersebut menjadi tidak sah.
والله أعلم بالصواب
Sekian terima kasih.
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 28