BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya nak bertanya pandangan dari pihak tuan yang mana saya rasa lebih arif. 

Ada pasangan suami isteri, asalnya tinggal di rumah ibu mertua (flat). Lalu selepas menerima cahaya mata pertama, suami dapat membeli sebuah rumah teres yang selesa dan bawa ibu dan kakak nya tinggal bersama. Lalu menjual rumah flat milik ibu nya. Tetapi mereka masih punya 2 biji flat yang lain 

Tetapi hubungan isteri dan ibu suami tidak baik. Keberadaan ibu mertua selalu membuatkan si suami panas pada isterinya. Lalu si isteri minta untuk tinggal asing dari keluarga suami. 

Oleh kerana ibu mertua terlalu sayangkan rumah itu ( rumah teres yang dibeli suami) jadi isteri mengundurkan diri berpindah keluar ke rumah flat milik bapa si suami. 

Awal nya si isteri bahagia dan reda kerana anak2 masih kecil dan si isteri mampu menjaga dan mendidik anak2 tanpa campur tangan yang lain lagi.

Tapi semakin hari bila anak2 sudah mula bersekolah, isteri manghadapi beberapa kesusahan. Setiap pagi nak menghantar dan jemput anak2 ke sekolah terpaksa meredah hujan panas berlari ke parking kereta yang jauh dari pintu rumah, dengan menggendong bayi sambil memimpin kakak2 nya. Dan setiap petang anak2 tidak dapat bermain di luar rumah kerana tidak ada halaman. Nak berbasikal di bawah sekitar flat suami tak izinkan. Dan nak buang sampah pon jauh pusing ke belakang blok dan terpaksa berlari kerana terpaksa meninggalkan bayi di rumah untuk membuang sampah. Apa lagi kalau membeli barang dapur si isteri perlu meninggalkan bayinya di atas dan ulang alik turun ke parkir kereta untuk mengambil barang.

 

Oleh kerana beberapa kesusahan ini, isteri mula tak redha dengan rumah teres yang dibeli suami didiami ibu nya. Kerana fikir jika aku tinggal di rumah teres itu pasti semua kesusahan ini lebih mudah untuk aku, tetapi isteri tak sanggup pindah semula kerana ada ibu mertuanya dalam rumah itu. Mereka suami isteri pernah hampir2 bercerai kerana si ibu mertua.

 

Adakah layak si isteri untuk tidak meredhokan perkara ini? Isteri takut urusan suami nya semakin susah tapi kerana kesusahan seperti berikut agak susah untuk isteri ini meredhokan nya. Mohon pandang dari pihak tuan agar si isteri faham apa yang sepatutnya. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:

Antara nafkah yang suami wajib disediakan oleh suami kepada isterinya adalah nafkah tempat tinggal mengikut kemampuannya. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq ayat 6:

أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُواْ عَلَيۡهِنَّۚ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

Ciri-ciri tempat tinggal yang mesti disediakan oleh suami diringkaskan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaily dalam kitab beliau Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu dengan penyataan berikut:

  • Suami hendaklah menyediakan tempat tinggal yang sesuai berdasarkan kemampuannya dari segi kewangan.

  • Suami hendaklah menyediakan tempat tinggal yang khusus untuk isteri dan anak-anak mereka. Tidak boleh menghimpunkan bersama ibu bapa atau kaum kerabat suami melainkan jika isteri reda untuk berkongsi kediaman yang sama.

  • Suami hendaklah menyediakan keperluan asas di rumah tersebut seperti alas tidur, alat-alat tempat memasak dan bilik mandi.

Berdasarkan situasi di atas, isteri telah mula berasa tidak redha terhadap tempat tinggal yang disediakan oleh suami disebabkan faktor-faktor yang disebutkan. Faktor-faktor tersebut adalah kesukaran yang boleh dielakkan oleh suami dan pihak suami mampu menyediakan tempat tinggal yang lebih baik daripada tempat tinggal isteri sekarang. Suami wajib mengutamakan nafkah tempat tinggal untuk isterinya, sedangkan tempat tinggal si ibu wajib disediakan oleh suami kepada ibu tersebut iaitu bapa suami. Begitulah cantiknya aturan keutamaan yang ditentukan oleh syarak bagi memastikan setiap individu mendapat haknya. Oleh itu, perkara ini hendaklah diselesaikan dengan cara yang baik antara pasangan suami isteri demi kemaslahatan bersama.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 46

message user image