BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum & Salam Sejahtera Tuan/Puan,

Saya ingin bertanya perihal status lafaz cerai saya tadi akibat daripada pertengkaran antara isteri saya dan diri sendiri.

Saya dan isteri bertengkar melalui percakapan menerusi telefon. Bagi mengelakkan diri saya melakukan apa apa tindakan yang dipengaruhi emosi, iaitu perkara yang boleh mengeluarkan kata-kata tidak sopan atau lebih teruk, lafaz cerai, saya memberitahu isteri saya ingin matikan perbualan kami berdua dengan alasan yang disebutkan.

Setelah tamat perbualan di telefon, isteri saya masih menghantar mesej-mesej yang berbaur ketidakpuashatian dirinya seolah-seolah saya ingin meninggalkan nya.

Selanjutnya, saya mengendahkan hantaran teks mesej whatsapp isteri saya untuk menamatkan pertengkaran. Semasa saya sedang sendirian di ruang tamu tanpa ada kehadiran susuk tubuh orang lain, saya membayangkan dalam fikiran saya berada dalam keadaan melafazkan cerai talak tiga kepada isteri. 

Tanpa menyedari, mulut saya melafazkan kata kata tersebut seolah-seolah lisan mengikuti bayangan fikiran tersebut. Apabila tersedar, saya memberhentikan lisan saya dan berasa was-was sama ada jatuh talak atau tidak.

 

Maaf atas taipan panjang bagi memudahkan pihak Tuan/Puan memahami apa yang saya ingin sampaikan.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, Islam tidak menetapkan sesuatu hukum berdasarkan rasa syak, ragu-ragu, sangkaan atau tidak pasti. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran. 

Begitu juga kaedah fiqah yang mengatakan:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).

Oleh itu, seandainya seseorang itu tidak pasti sama ada melafazkan talak ataupun tidak, atau tidak pasti lafaz yang diucapkan, maka ia tidak memberi apa-apa kesan kepada ikatan perkahwinan.

Begitu juga tidak jatuh talak sekiranya suami tersasul melafazkan kata-kata talak atau tidak menyedari lafaz yang diucapkannya. Ini kerana suami tidak bermaksud untuk melafazkan kata-kata atau perkataan tersebut.

Walau bagaimanapun, sila rujuk ke Pejabat Agama Islam Daerah terdekat di tempat tinggal untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 49

message user image