BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamuaalaikum. Saya pernah memaksa suami untuk meletakkan taklik sekiranya dia menyakiti hati dengan teruk saya akan terjatuhlah talak 1, suami telah pun melafazkan taklik tersebut dengan ikhlas, lalu pada satu ketika pergaduhan berlaku dengan sangat teruk hingga menyakiti hati saya. Lalu kami bersetuju untuk rujuk semula. Jadi persoalan, adakah taklik tersebut telah gugur setelah rujuk kembali? Adakah jika perkara sama berulang suami menyakiti hati saya, saya pun terjatuh talak lagi?

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan puan di atas :

1. Lafaz tersebut termasuk dalam cerai secara taklikTaklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya perlanggaran terhadap apa yang disyaratkan itu. Taklik juga bermaksud: menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya saya menyakiti hati isteri saya dengan teruk akan terjatuhlah talak 1.” atau sebagainya. Sekiranya berlaku perlanggaran pada syarat taklik tersebut iaitu suami menyakiti hati isterinya dengan teruk sebagaimana yang pasangan maksudkan, maka boleh membawa berlakunya perceraian.

2. Dan sekiranya talak itu jatuh, lalu pasangan rujuk kembali dengan lafaz yang jelas seperti kata suami: "aku rujuk kamu kembali"  maka rujuk itu sah pada hukum syarak. 

3. Apabila sesuatu taklik itu telah jatuh atau berlaku maka ia telah gugur dan tidak mengikat lagi kepada pasangan tersebut pada masa akan datang, kecuali sekiranya lafaz taklik tersebut ada menyebut "setiap kali menyakiti hati isteri dengan teruk maka jatuh talak", maka taklik seperti ini akan sentiasa mengikat pasangan setiap kali berlaku maka jatuhlah talak.

Walau bagaimanapun, memandangkan kuasa mengesahkan lafaz penceraian atau talak adalah bidang kuasa pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57. 

Sebagai peringatan, menjadi kewajipan dari segi undang-undang untuk mendaftarkan setiap penceraian atau rujuk yang dilakukan. Melanggar ketetapan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

والله أعلم بالصواب 

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 50

message user image