BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum SS Tuan Mufti.

Saya Zara dan saya ada persoalan.

Situasi:

Bapa berusia 60an. Sebelum ini, beliau banyak meninggalkan puasa kerana tidak sihat & juga kerana kurang kesedaran & kefahaman agama. Dan kesemua puasa tersebut sejak berusia 25 tahun (sejak sebelum berkahwin), belum pernah diganti.

Persoalan saya:

1. Sebagai anak, apakah yang perlu saya lakukan?

2. Apakah tahap tidak mampu berpuasa yang membolehkan seseorang itu untuk tidak mengganti puasa, tetapi hanya membayar fidyah?

3. Apakah kaedah pengiraan gantian puasa & fidyah / fidyah?

4. Pembayaran fidyah boleh dibuat kepada pihak mana?

Bantuan & nasihat pihak SS Tn Mufti didahului dengan ucapan terima kasih, jzkk.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1) Seorang anak boleh membantu memberi penjelasan dan kefahaman kepada bapa. Sekiranya bapa telah uzur dan tidak mampu menggantikan puasa, maka dia perlu membayar fidyah terhadap puasa yang pernah ditinggalkan.

2) Seseorang itu tidak perlu menggantikan puasa dan hanya perlu membayar fidyah sekiranya:

i. Orang tua yang tidak mampu berpuasa dan jika berpuasa akan memudaratkan dirinya sendiri dan kesihatan tubuh badannya.

ii. Orang yang sakit berpanjangan dan tidak diharapkan boleh sembuh berdasarkan pengesahan doktor perubatan.

3) Kaedah ganti puasa adalah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Manakala, untuk bayaran fidyah adalah harus menggunakan 2 kaedah sama ada:

i. Gandakan fidyah mengikut tahun.

ii. Tidak digandakan kadar fidyah.

Pilihan sama ada untuk menggandakan atau tidak menggandakan fidyah bergantung kepada kemampuan seseorang.

Kadar fidyah semasa yang ditetapkan adalah berdasarkan jenis beras yang biasa dimakan. RM2.00 sehari bagi yang biasa memakan beras Super Tempatan Gred A. RM4.00 sehari bagi yang biasa memakan beras putih import/ beras perang/ beras pulut/ herba ponni/ beras wangi. RM6.00 bagi yang biasa memakan beras basmathi/ beras jepun/ beras merah.

Ringkasan kadar fidyah yang perlu dibayar adalah seperti berikut:

Kaedah berganda:

(Jumlah hari tidak berpuasa) x (Kadar fidyah) x (Jumlah tahun yang ditinggalkan) = Jumlah fidyah yang perlu dibayar. 

Kaedah tidak berganda:

(Jumlah hari tidak berpuasa) x (Kadar fidyah) = Jumlah fidyah yang perlu dibayar.

Sebaiknya hubungilah pihak Baitulmal MAIS untuk memastikan pengiraan bayaran fidyah yang lebih tepat. 

4) Kalkulator pengiraan bayaran fidyah boleh diakses secara atas talian melalui e-MAIS di http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php atau di kaunter Baitulmal MAIS atau Baitulmal Daerah yang terdapat di Pejabat Agama Islam Daerah dalam negeri Selangor secara tunai atau melalui cek/ pos berdaftar atas nama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 32

message user image