BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

Saya nak tanya, macam mana nak maafkan mak dan ayah sendiri. Baru-baru ni dapat tahu anak sulung mereka merupakan anak tak sah taraf. 

Setelah mengetahui perkara ini, perasaan saya bercampur baur, marah kecewa dan sedih. Saya tak dapat nak hadam. Saya berusaha nak lupakan, tapi terngiang-ngiang perkataan anak luar nikah tersebut. 

Mereka berkahwin ketika abang dalam kandungan, dan ayah telah meninggal. Saya sedih kerana saya merasakan tidak ada lagi wali yang sah untuk saya. Saya juga tidak mahu aib ini tersebar kerana takut orang ramai bertanya kenapa bukan abang yang walikan saya nanti. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dalam kehidupan. Ada kalanya manusia tergelincir melakukan kesalahan sehingga mendapat dosa kerana tewas dengan godaan syaitan. Ada kalanya pula, syaitan tidak boleh dipersalahkan kerana manusia juga boleh terjebak melakukan perbuatan dosa disebabkan nafsu jahat dalam diri. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: Setiap anak cucu Adam (melakukan) kesalahan (dosa) dan sebaik-baik orang-orang yang melakukan dosa ialah orang-orang yang bertaubat. (Riwayat Ibnu Majah)

Atas dasar inilah, Allah SWT menganugerahkan amalan taubat agar hamba-Nya dapat menebus kembali kesilapan dan kesalahan yang telah mereka lakukan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nur ayat 31:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Yang maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Dalam perkara ini ini, sekiranya ibu dan bapa saudari bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat serta menunaikan segala syarat-syarat taubat dengan sempurna, maka mereka di kaca mata Islam seumpama kain putih yang bersih dari dosa dan kesalahan mereka yang telah lalu dan mungkin mereka menjadi lebih baik dan mulia di sisi Allah SWT daripada kita. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berbaik sangka terhadap sesama manusia lebih-lebih lagi kepada kedua ibu bapa sendiri, dan hendaklah yakin bahawa setiap apa yang Allah SWT ujikan kepada kita pasti ada hikmah yang terbaik buat hamba-Nya. Sebagai anak, sudah semestinya kita mendoakan agar ibu dan bapa kita diampunkan oleh  Allah SWT serta berada di bawah rahmat dan kasih sayang Allah selalu.

والله أعلم بالصواب 

Sekian terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 45

message user image