BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya kalau kentut sering was was apakah ada najis yang keluar sebab saya kalau kentut ada sensasi basah di dubur. Namun apabila saya periksa tiada najis. Saya pun hanya menganggap rasa lembap, basah atau licin itu hanyalah peluh atau bekas air mandian/instinjak yang belum kering atau geseran antara otot dubur dan bulu dubur. Adakah tindakan saya ini betul?

Kadangkala saya periksa seluar dalam saya ada bau najis. Tapi saya yakin tidak terberak, cuma kentut saja. Hal ini kerana bila saya cek dubur dan seluar dalam tiada najis. Jadi saya hanya anggap bau tersebut datangnya dari kentut. Namun adakah pakaian yang berbau najis meskipun tiada najis tetap dikira najis? Misalnya dalam situasi saya seluar dalam saya berbau najis selepas kentut walaupun tiada najis yang keluar. Adakah angin kentut boleh menajiskan pakaian?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada ain najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.

Sehubungan itu, merujuk kepada isu yang dinyatakan kentut yang tidak disertai dengan adanya najis pada pakaian, maka pakaian tersebut adalah kekal suci. Pakaian yang berbau najis selepas kentut, namun tiada najis yang kelihatan adalah kekal suci kerana asal keadaan pakaian tersebut adalah suci daripada najis. Angin kentut pula tidak menajiskan pakaian melainkan terdapat pada pakaian tersebut najis, hanya mungkin ia berbau najis.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 28

message user image