BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya nak tanya. Saya dibiarkan oleh suami hanya kadang2 sahaja suami balik. Bukan suami tak sayang tapi die tidak mampu menafkahi saya . Dari segi 3 utma kecuali nafkah batin. Jadi suami hanya balik jika dahhh terlalu lama tidak dilayani. Bab nafkah tempat tinggal dan makan semua  suami tidak mampu. Dan saya menumpang keluarga saya. Walaupun banyak kali pujuk cari kerja yg elok. Tidak berjaya semua. Kira saya jaga diri saya sendiri. Keluarga saya jaga saya dan suami hanya balik kadang2 bila die rindu. Dan selalu banyak alasan supaya die balik ke kampung. Jadi saya tawar hati. Hmpir 3 tahun berkawin. Jadi adakah saya berdosa juga jika tolak ajakan suami. Kerana saya dah tawar hati   saya tengok die dan die hanyala baik pada saya bila nak kan layanan saya. Adakah berdosa saya untuk minta dilepaskn kerana suami tak mampu jaga saya  . Suami ada beritahu nak bawa saya balik rumah ibunya. Tapi dirumah itu  tiada privasi saya . Rumah bercampur adik ipar semua. Saya tak mampu jaga aurat saya dan suami saya susah kerja. Saya perlu kerja untuk settelkan bil2 saya. Di kampunhnya tiada peluang pekerjaaan yg baik. Apa yang patut saya buat? Suami saya hanya la contact saya bila perlu sahaja. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Nafkah adalah pembelanjaan keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. Allah SWT berfirman dalam surah al Talaq ayat ke 7 :

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Yang maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

Dan para ulama juga bersepakat yakni Ijma’ bahawa suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini seperti mana firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya : Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

Daripada dua ayat di atas dapat kita faham bahawa suami wajib menyediakan nafkah kepada isteri dan tanggungnya berdasarkan kemampuan yang dimiliki dan sesuai dengan keperluan keluarganya, bukan hanya sekadar keperluan nafkah batin sahaja, keperluan zahir juga hendaklah dilaksanakan denga sempurna.

Dalam hal ini, berbincang dengan cara yang baik (syura) adalah antara pilihan yang puan boleh laksanakan. Ini kerana dalam Islam, pasangan diberi ruang untuk melalui sesi khidmat nasihat atau berbincang secara baik dengan dipandu oleh pegawai atau orang tengah yang berautoriti, puan dan suami bolehlah merujuk perkara ini ke Pejabat Agama Islam yang berhampiran untuk menjadi orang tengah bagi membantu puan dan suami berbincang mencari solusi yang terbaik secara bersama insya Allah.

Dalam perkara yang melibatkan layanan isteri kepada suami, ia adalah merupakan kewajipan dan tanggungjawab yang isteri wajib laksanakan kepada suaminya. Menolak permintaan suami untuk menjalinkan hubungan kelamin tanpa keuzuran yang dibenarkan syara adalah merupakan suatu kesalahan dan boleh membawa kepada dosa. Oleh yang demikian, sebagai isteri yang solihah, isteri hendaklah melayan suaminya dengan layanan yang baik dan makruf walaupun mungkin suaminya tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik.

Adapun hukum seorang isteri untuk memohon diceraikan atau memohon fasakh disebabkan ketidakmampuan suami menyediakan nafkah zahir, ia adalah diharuskan sama ada dari segi syarak mahupun undang-undang. Ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 di bawah seksyen 53 (1) dan (2).

Namun begitu, Baginda Rasulullah SAW memberi amaran melalui hadisnya yang menjelaskan bahawa keharusan isteri untuk memohon cerai itu hendaklah dengan alasan-apasan yang dibenarkan oleh syarak. Hadis daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga. (Riwayat Al-Tirmizi)

والله أعلم بالصواب 

Sekian terima kasih

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 54

message user image