BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

Saya mempunyai masalah keyakinan diri yang rendah disebakan hidung saya. Hidung saya agak besar dan kembang. Perkara ini membuatkan saya menjadi malu untuk berjumpa dan bergaul dengan masyarakat bahkan dengan ahli keluarga sebelah suami. Jika di tempat kerja pula, saya sangat malu untuk bergaul dengan rakan sepejabat apatah lagi untuk ke hadapan. Bukan itu sahaja, saya juga malu untuk bertemu sesiapa jika perlu menghadiri sesuatu majlis bersama suami. Saya lebih suka duduk di rumah berbanding menghadirkan diri di majlis tersebut. Kadang kala, perkara ini juga membuatkan kami bergaduh. Lebih teruk lagi, saya akan mengedit gambar di bahagian tersebut jika mahu memuat naik di laman sosial semata-mata untuk menutup aib. Jika gambar tersebut diambil menggunakan kamera telefon saya, saya akan membuat perkara yang sama sebelum ia diberikan kepada sesiapa yang menginginkan gambar tersebut. Jadi persoalan saya, bolehkah saya membuat pembedahan membetulkan hidung dengan niat untuk menutup aib serta menambah keyakinan diri? Pembedahan tersebut dikenali sebagai 'Rhinoplasty'. Saya juga sangat tertekan jika ada orang yang cuba memerli dan menghina hidung saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, melakukan pembedahan plastik dikategorikan sebagai perbuatan mengubah ciptaan Allah iaitu perbuatan yang diharamkan. Namun begitu, ia dibenarkan hanya atas sebab adanya kemudaratan, keaiban dan untuk kebaikan kesihatan seseorang. Merujuk kepada persoalan, pembedahan Rhinoplasty yang dilakukan atas tujuan kesihatan iaitu mengelak dari berlakunya tekanan psikologi akibat perasaan aib yang dirasai serta perkara lain yang boleh memudaratkan adalah diharuskan berdasarkan hukum syarak. Adapun begitu, pembedahan tersebut mestilah dengan tujuan yang baik iaitu tidak membawa kepada untuk tujuan kecantikan kerana dikhuatiri boleh mengubah ciptaan Allah. Selain itu, puan juga mestilah mendapat pengesahan dan kelulusan pakar sebelum pembedahan dilakukan supaya pembedahan yang dilakukan tidak menjejaskan kesihatan diri. 

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih. 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 39

message user image