BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Setahu saya air liur basi itu najis. Tapi saya tidak tahu bagaimana untuk membezakannya. Saya ada membaca beberapa website cara untuk mengenalnya apabila mengalir keluar dari mulut. Namun bagaimana nk kenal air liur basi yang masih dalam mulut? Adakah dengan rasa masam? Tapi kdg2 selepas saya berkumur rasa masam itu masih ada, adakah ini bermakna air liur basi masih ada atau itu memang air liur dari mulut. Selama ini saya tidak menghiraukan rasa masam sebegini kerana menganggap air liur yang mengalir keluar dari mulut dan berbau busuk sahaja sebagai air liur basi. Saya menjadi was was tentang solat-solat saya sebelum ini terutama sekali subuh. Bagaimana pula dengan puasa saya sebelum ini? Bolehkah saya berpegang kepada pendapat mengatakan air liur basi tidak najis? Atau saya hanya perlu menganggap air liur yang mengalir keluar dan busuk sahaja sebagai najis dan mengabaikan rasa masam di mulut?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Asal bagi air liur yang keluar dari mulut seorang manusia adalah suci. Begitu juga peristiwa yang telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.anha. Kata beliau:

كُنْتُ أَشْرَبُ وَأَنَا حَائِضٌ ثُمَّ أُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ فَيَشْرَبُ

Maksudnya: “Aku minum pada ketika itu aku datang haid. Kemudian aku bawakan bekas minuman tadi kepada Nabi saw lalu Baginda meletakkan mulutnya di tempat yang aku minum tadi lantas Baginda minum.(Riwayat Muslim)

Melalui kajian sains, perut tidak menghasilkan air liur tetapi asid. Campuran air liur dan asid yang naik ke kerongkong itulah yang menyebabkan pedih tekak, pedih ulu hati, mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, dan rasa masam. Ia mungkin berkait rapat dengan Gastro Esophageal Reflux Disease (GERD). Itulah yang dimaksudkan para ulama’ dengan air liur “daripada perut” yang bernajis. Manakala air liur yang keluar daripada mulut, yakni tanpa sebarang petanda yang telah disebutkan, ia suci. Bagi mengelakkan keraguan atau perasaan was-was, sunat membasuh pakaian yang terkena air liur semasa tidur. Jika terlupa, ia dimaafkan.

Oleh itu, merujuk kepada persoalan yang diajukan berdasarkan kepada kenyataan di atas, hukum bagi air liur ada dua. Sekiranya air liur tersebut dari mulut maka hukumnya suci. Manakala, jika ia keluar dari perut maka hukumnya adalah najis. Justeru, sebaiknya jika terdapat air liur basi, maka basuhlah bagi mengelakkan was-was. Adapun, sekiranya terlupa, maka dimaafkan. Air liur basi semata-mata adalah tidak najis dan juga membatalkan wuduk malah tidak membatalkan puasa.

Sehubungan itu, abaikan rasa was-was tersebut dan berusahalah untuk mengatasi perasaan was-was dengan berdoa serta memohon perlindungan daripada Allah SWT. Ini adalah kerana perasaan was-was merupakan suatu penyakit dan ia perlu ditangani dengan sebaiknya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 38

message user image