BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya sangat jahil bab mensucikan tubuh Dan pakaian untuk beribadah. Apa yang saya tahu kita boleh membasuh pakaian yang bernajis bersama dengan pakaian lain di dalam mesin basuh (semi automatik atau automatik sepenuhnya) dengan syarat air basuhan pertama keluar Dan ada air baru yang masuk di pertengahan proses membasuh. Tetapi baru hari ini saya tahu bahawasanya air perlu terlebih dahulu masuk/memenuhi mesin basuh baru masukkan kain yang bernajis Dan kain lain. Dan saya baru tahu bahawasanya air yang bercampur dengan sabun basuh kain ialah suci tetapi tidak mensucikan. Ini membuatkan saya sangat takut kerana saya perlu akui saya mempunyai tabiat yang buruk yang perlu saya hentikan sekarang iaitu beronani. Saya yakin kain yang saya gunakan semasa onani itu mesti terdapat air mazi iaitu najis Dan walaupun bercampur dengan air Mani yang suci tetapi menjadi mutannajis. Selain itu, ketika keluar membeli belah beberapa minggu lalu, saya dapati punggung saya kurang selesai seperti terdapat kesan najis yang belum sempurna cucinya, saya Cuba yakinkan diri sendiri bahawasanya tiada apa apa namun setelah pulang ke rumah, sah terdapat kesan najis pada seluar dalam walaupun saya yakin sewaktu buang air Besar sebelum keluar rumah, saya cuci dengan baik. Saya biarkan seluar dalam itu beberapa minggu tanpa basuh. Tetapi sebelum saya mengetahui bahawasanya air perlu diisi terlebih dahulu di dalam mesin basuh Dan air bercampur dengan sabun basuh kain adalah suci tetapi tidak mensucikan, saya meletakkan seluar dalam yang mempunyai kesan najis Dan juga seluar dalam bekas onani saya yang saya yakin terdapat air mazi terlebih dahulu di dalam mesin basuh sebelum air memasuki mesin. Saya sekarang berasa takut bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini kerana saya takut najis sudah berpindah ke bahagian dalam mesin basuh Dan bagaimana pakaian sebelum ini yang saya pernah campur bersama pakaian ahli keluarga saya yang lain di mana saya keringkannya di dobi layan diri menyebabkan saya takut ibadah keluar saya juga tidak diterima, najis berpindah ke tempat duduk Kereta sewaktu dalam perjalanan ke dobi layan diri Dan bagaimana pula pakaian pengguna mesin kering di dobi layan diri selepas saya secara tidak secara kerana kejahilan saya dalam bab bersuci meletakkan kain yang basah bernajis ke dalam mesin kering. Terima kasih. Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.

Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh otomatik adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;

a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.

b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke dalam pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya. 

c) Terbukti berlakunya bilangan (adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.

c) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mod yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.

d) Dari segi pengesanan zat najis dan jenis kesannya, didapati;

  • i) Kesan najis iaitu bau, warna dan rasa telah hilang sepenuhnya.

  • ii) Kewujudan kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran menghilangkannya dimaafkan oleh syarak atas faktor mashaqqah.

  • Setiap pakaian yang telah hilang semua kesan najis khususnya kategori mutawaṣṣiṭah adalah dihukumkan bersih sekiranya semua kesan tersebut dapat dihilangkan dengan mudah.

  • Jika sukar dihilangkan selepas dibasuh dengan sabun (contoh) seperti kesan darah, pakaian tersebut dihukum bersih dengan dimaafkan (diberikan kelonggaran) pada kesan yang berbekas

Berasaskan prinsip-prinsip di atas, kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh otomatik itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata.

Namun adalah lebih baik sekiranya najis yang ada pakaian itu dibuang dan dibasuh terlebih dahulu. Manakala mesin basuh separuh automatik atau manual tidak memenuhi syarat menyucikan najis. Oleh sebab itu, najis pada pakaian perlu disucikan dahulu bagi penggunaan mesin basuh manual. Untuk maklumat lebih lanjut, pihak puan boleh merujuk  garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut: 

https://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20&%20Penerbitan/Hukum%20Cucian%20Menggunakan%20Mesin%20Basuh%20Automatik%20dan%20Separa%20Automatik.pdf

Oleh itu, merujuk kepada persoalan tuan,

1) Pakaian yang telah dibasuh oleh mesin basuh adalah kekal suci.

2) Mesin basuh kekal suci dengan basuhan kali kedua.

3) Semua amal ibadah yang dilakukan adalah sah.

4) Tidak perlu dicuci semula pakaian tersebut.

5) Tidak lagi berkaitan kerana pakaian tersebut kekal bersih dan suci.

Mengenai kenyataan bahawa perlu memenuhkan dahulu air ke dalam mesin basuh, kemudian baru pakaian adalah tidak benar. Tindakan yang benar adalah memasukkan terlebih dahulu pakaian ke dalam mesin basuh, kemudian baru masukkan air.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 24

message user image