BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada kemusykilan. Malam semalam tempat saya hujan dan ketika saya hendak balik ke rumah, saya lihat ada seekor anjing yang basah berteduh/ baring di lantai simen belakang rumah saya berdepan dengan pintu masuk belakang. Untuk pengetahuan ustaz, anjing selalu lalu lalang dibelakang rumah saya. Setelah sedar saya datang, anjing itu terus berlalu pergi dan ketika saya periksa ia meninggalkan kesan tapak kakinya yang basah di atas lantai simen tersebut. Setelah itu, ibu saya terus membasuh lantai tersebut seperti biasa menggunakan air& sabun.  Soalan saya, adakah lantai itu najis dan perlukah saya sertu lantai simen tersebut? Seterusnya, kalau bernajis dan perlu sertu, bagaimana pula dengan basuhan yang ibu saya lakukan itu? Air basuhannya itu memercik kemana2 tempat bahkan di alat basuhan seperti paip, gayung, kaki saya dan ibu saya ,bagaimana kalau sdh macam tu ustaz adakah seluruh tempat, alatan basuhan dan kaki itu menjadi najis kerana ianya hanya basuhan biasa? Apakah solusinya ustaz. Bolehkah saya tidak menyertu dan hanya basuh seperti itu sahaja kerana ada mazhab lain yang menganggap anjing itu tidak najis. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna atau bau. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Merujuk kepada persoalan tuan:

1) Bekas tapak kaki anjing tidak perlu disertu melainkan sekiranya diyakini terdapat najis anjing padanya. Sehubungan itu lantai simen tersebut tidak bernajis. Cukup sekadar dibasuh sahaja lantai simen tersebut dengan air dan tidak perlu disertu.

2) Lantai tersebut kekal bersih dan suci, ini kerana pada asalnya, sesuatu itu suci dan tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Oleh itu, air basuhan lantai yang terpercik ke mana-mana tempat dan kawasan juga tidak bernajis. Alat basuhan beserta kaki tuan dan ibu tuan juga tidak bernajis semasa melakukan proses basuhan tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 19

message user image