BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz/Ustazah, semuga sentiasa didalam lindungan Allah. 

Saya berkahwin dgn suami saya 5 tahun lepas setelah isteri pertama beliau meninggal. Beliau seorang yg bertanggung jawab & baik agamanya.
Semasa bersama arwah isteri pertama, mereka mempunyai seorang pembantu rumah yg datang membuat kerja rumah beberapa jam,  3 kali seminggu. Kami berkahwin 2 thn selepas kematian isteri beliau. Setelah kami berkahwin, saya menetap dirumah saya, dan suami bergilir duduk di rumah lama beliau bersama anak2, & di rumah saya. Pembantu rumah masih bekerja seperti biasa di rumah beliau. Anak2 beliau sudah dewasa & bekerja, & suami telah bersara. Dua anak pertama ialah perempuan, berumur 30++, dan yg sulung belum berkahwin & tinggal bersama dirumah tersebut.
Saya ingin minta nasihat, bukan berkaitan perasan saya sebagai isteri, tapi berdasarkan agama & adab pergaulan. Pembantu rumah  sudah bersuami & mempunyai anak2. Beliau memanggil suami saya 'abang'. Bila beliau ada masaalah, walaupun berkaitan 'masaalah perempuan', beliau akan menalipon & mengadu pada suami saya. Bila beliau talipon suami, suami akan minta saya diam supaya pembantu rmh (PR) tak tahu saya ada, sbb tak mahu PR itu 'tak selesa bercerita'. Akhir2 ini PR menghadapi masaalah kesihatan. Beberapa kali saya tgk dia menalipon suami saya untuk bercakap. Hari ini saya tgk suami saya bercakap dgn PR tersebut dgn nada sgt rendah dan bergelak dgn PR melalui talipon lebih 15 minit. Bila saya tanya, & tidak setuju, dia tersinggung & ckp PR sedang bermasalah & dia nak membantu. Saya tak kisah & galak kan dia membantu, tapi saya rasa cara & adab pergaulan itu tidak betul. 
Saya mohon nasihat ustaz, untuk saya  faham & share dgn  beliau memandangkan beliau tidak setuju dgn pandangan saya. Saya terima jika saya yg salah. 
 

saya dahulukan dgn ucapan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, telah mengariskan peraturan dan batas-batas syarak dalam pergaulan ini bagi memastikan umat Islam sentiasa menjaga hubungan antara lelaki dan wanita ketika bermuamalah. Harus diingat bahawa pergaulan antara lelaki dan wanita jika tidak dikawal dan dipandu sebaiknya boleh membawa kepada pelbagai masalah yang lain seperti perzinaan, pembuangan bayi hasil hubungan terlarang, kekasih gelap dan keruntuhan institusi keluarga.

Allah SWT berfirman dalam surah al Ahzab ayat ke 32 :

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍۢ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِٱلْقَوْلِ فَيَطْمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلْبِهِۦ مَرَضٌۭ وَقُلْنَ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا 

Yang maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Di dalam Islam telah dinyatakan adab pertemuan atau interaksi antara lelaki dan wanita antaranya :

1. Berlaku ketegasan ketika berbincang tanpa gurau-senda yang berlebih-lebihan sehingga mendatangkan fitnah dan kemungkaran.
2. Menahan pandangan. Menahan dan menjaga pandangan di sini bermaksud tidak melihat aurat sesama manusia, memandang dengan pandangan yang bernafsu atau memandang dengan pandangan yang lama tanpa keperluan.
3. Menghindari pertemuan yang lama dan berulang-ulang antara lelaki dan wanita bagi menutup pintu-pintu fitnah (saddu zara’i).
4. Mengawal perbuatan dan pergerakan agar sentiasa tenang dan tidak keterlaluan.
5. Serius ketika bercakap dan berhujah bersama lelaki yang bukan mahram.

Oleh yang demikian, Islam tidak menghalang untuk bergaul atau berinteraksi dengan mana-mana individu yang berlainan jantina namun yang amat penting, setiap individu itu hendaklah menjaga batas-batas syara yang telah ditetapkan.

والله أعلم بالصواب 

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 45

message user image