Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,saya nak tanya.Apa hukum bayar duit untuk register satu website ni.selepas dah register Website tu, Kita gunakan website tu untuk promosikan website tu supaya orang register website tu.Kalau orang tu register website tu kita dapat komisen hasil orang tu register website tu
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, harus bagi mana-mana laman web untuk mengenakan bayaran tertentu bagi sesiapa yang ingin berdaftar di website mereka. Begitu juga harus, bagi mana-mana laman web memberi ganjaran, upah atau komisen kepada sesiapa yang mempromosikan website mereka, sebagaimana yang dinyatakan di dalam soalan. Walau bagaimamanpun, keharusan itu bergantung kepada kandungan yang terdapat di dalam laman web itu. Sekiranya kandungan laman web itu adalah sesuatu yang tidak bermanfaat atau sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang yang berkuatkuasa serta menyalahi hukum syarak maka sebarang penglibatan adalah perlu dielak suapaya tidak bersubahat di dalam perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.