Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada persoalan. Persoalan saya adalah adakah terbatal pernikahan jika si suami yang merupakan seorang mualaf enggan mendirikan solat selepas berkahwin? Namun begitu, beliau masih solat mengikut cara agama beliau yang dahulu kerana ingin menghormati nenek moyang agamanya yang dahulu dan juga takut akan dimarahi/dibenci oleh kedua-dua ibu bapanya walaupun sudah ditegur oleh si isteri. Jadi, bagaimana dengan pernikahan mereka, terbatal atau masih diiktiraf?
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Jika seorang suami atau ketua keluarga tidak menunaikan solat, maka perlulah dilihat terlebih dahulu akan sebab dan punca yang menyebabkan dia tidak menunaikan solat tersebut. Jika seseorang itu meninggalkan solat dalam keadaan dia mengingkari akan kewajipan menunaikan solat, ataupun dia menunaikan solat tetapi pada masa yang sama dia mengingkari kewajipan itu, maka jatuhlah hukum kafir murtad ke atasnya berdasarkan ijma’ muslimin. Namun sekiranya dia tidak mengingkari kewajipan solat cuma sekadar malas sahaja maka hukumnya berdosa besar. Perkara ini dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W:
Yang maksudnya: Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang syirik dan kafir, iaitu meninggalkan solat. (Riwayat Muslim)
Adapun, sekiranya suami masih lagi sembahyang mengikut cara agama beliau yang dahulu, maka dalam kes sebegini, si isteri perlulah merujuk kepada pihak Jabatan Agama Islam Daerah terdekat terlebih dahulu untuk disahkan status keislaman suami tersebut sebelum pihak Mahkamah Syariah dapat menentukan hukuman ataupun keputusan yang sesuai berkenaan perkahwinannya.
Sekian terima kasih