Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, sebelum solat, saya membuang air kecil Dan membasuh kemaluan dengan menghalakan kepala "shower" kepada kemaluan dalam keadaan mencangkung tanpa menggosok kemaluan saya. Adakah cara saya ini dibolehkan kerana saya menghalakan kepala "shower" yang boleh diangkat itu lama ke kemaluan saya sehingga yakin tiada titisan kencing di kepala kemaluan atau "testical" saya.
Soalan kedua, ketika solat selepas selesai membuang air kecil, saya dapat rasakan seperti hujung luar kepala kemaluan seperti berair Dan juga pada rakaat kedua seperti "testical" Dan hujung kepala kemaluan berair. Saya was was sama ada ianya air kencing yang keluar atau hanya air basuhan kemaluan tadi yang melalui kepala kemaluan Dan "testical" saya. Rasa berair itu seperti bermain main di hujung kemaluan Dan di "testical" rasa berair tu seperti merebak ke majoriti kawasan/kulit hadapan "testical" saya. Saya berasa was was sehingga pernah terhenti solat tetapi saya tetapi solat tanpa pergi ke bilik air untuk memeriksanya. Selepas solat, saya ada menyentuh kemaluan dengan tangan Dan tiada pula bau yang kurang menyenangkan seperti air kencing. Saya solat di ruang tamu di atas karpet Besar jadi saya was was Dan takut jika benar ianya air kencing, khuatir akan dipijak oleh keluarga yang lalu di situ kerana dapat saya rasakan air yang mengalir di kaki ketika berdiri solat. Kain pelikat juga terasa was was terkena air yang tidak saya ketahui itu maka saya khuatir jika berpindah najis daripada kain pelikat ke tempat lain seperti sofa.
Buat waktu ini saya tidak membasuh karpet Dan terus menggunakan kain pelikat yang sama sementara menunggu pendapat pihak tuan/puan.
Terima kasih, Assalamualaikum.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
1) Membasuh kemaluan dengan cara menghalakan shower terus ke kemaluan adalah dibolehkan kerana cara tersebut adalah merupakan cara membasuh dengan mengalirkan air ke tempat yang bernajis. Disunatkan untuk berdehem sebanyak 3 kali selepas selesai kencing bagi memastikan kencing itu lawas atau sempurna.
2) Di dalam agama Islam tidak disuruh mencari-cari najis yang keluar dari kemaluan. Apa yang kita disuruh apabila membuang air adalah dengan membersihkan tempat atau bahagian yang terkena najis sahaja. Ini yang diperintahkan di dalam agama Islam. Kita tidak disuruh melihat dari lubang kemaluan apakah masih terdapatnya najis keluar ataupun tidak, bahkan sebenarnya apabila kita beristinjak dengan menggunakan air, maka sudah tentu terdapat saki-baki air yang turun dan berkumpul di hujung kemaluan dan seterusnya menitis. Memang perkara ini akan berlaku, kerana itu apabila telah dipastikan air kencing atau najis telah keluar habis, maka yang menitis selepas beristinjak itu adalah air atau bekas air yang telah kita gunakan untuk membersihkan bahagian atau tempat keluarnya najis.
Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala sifat najis iaitu pada keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan iaitu bukan ragu-ragu. Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri anda yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri anda pada masa akan datang. Perasaan was-was itu adalah gangguan dari syaitan. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati.
Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi dari penyakit was-was ini.
Sekian, terima kasih.