Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Suami saya pernah mengaku bujang semasa tahun 2021. Waktu itu saya sedang mengandung. Saya hubungi wanita tersebut dan dia menyatakan Suami saya bujang. Dan suami saya mengaku perempuan disebelah dia (gambar whatsapp) iaitu saya adalah kawan sahaja. Apa status kami ya? Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pengakuan seorang suami bahawa dia adalah bujang atau tidak berkahwin, boleh menyebabkan berlaku talak secara kinayah (kiasan) sekiranya dia berniat menceraikan isterinya semasa mengucapkan kata-kata itu. Namun jika dia tidak berniat sedemikian, maka talak tidak berlaku. Akan tetapi ia merupakan suatu pembohongan dan hukumnya adalah berdosa.
Untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut, boleh hubungi pihak Jabatan Agama Islam terdekat.
Sekian, terima kasih.