Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan, ketika saya solat asar beberapa hari yang lalu, ketika berdiri (tidak silap rakaat kedua atau ketiga) saya berasakan seperti ada air yang keluar daripada kemaluan saya Dan secara automatiknya saya berfikir sebagai air kencing. Saya berasa sangat sedih atau "frust" kerana seingat saya sebelum memulakan solat, saya sudah kencing Dan bersuci dengan baik menjadikan saya secara automatiknya menekup muka dengan tangan lalu turun seperti posisi sujud kerana sedih Masih ada air kencing yang datang menganggu solat saya ( walaupun saya sedar perbuatan saya ini telah membatalkan solat saya). Untuk makluman saya sejak kebelakangan ini berasa sangat was was dengan air kencing tidak kira semasa solat atau di luar solat menjadikan saya bertukar banyak kain pelikat Dan seluar dalam seminggu. Ketika solat itu, seingat saya, saya memakai seluar pelikat di mana cawatnya atau celah kelangkangnya itu sangat luas menjadikan ketika kita sujud, ada bahagian cawat itu yang menyentuh lantai. Ini menjadikan saya was was kerana saya tidak pasti sama ada titisan air kencing yang keluar itu ada mengenai bahagian seluar pelikat saya lalu ketika saya berasa sedih Dan secara automatiknya turun bersujud itu ada mengenai lantai. Saya solat di laluan masuk ke bilik tidur saya lalu saya was was jika benar ada air yang terkena seluar pelikat lalu terkena lantai, saya khuatir seluruh rumah bernajis. Selepas membersihkan diri untuk bersolat semula, saya menggunakan kain pelikat pula Dan yang baharu lalu solat di bilik ibu saya dengan anggapan jika ada titisan air kencing yang mengenai lantai bilik saya itu akan saya biarkan sehingga kering tanpa bau menjadikan ianya najis hukmi. Lalu setelah dibiarkan tidak pasti berapa jam, saya tidak pula dapati sebarang tompokan atau titisan aneh seperti bekas air kencing. Tetapi seingat saya, saya tidak lah meneliti secara terperinci lantai itu kerana saya Masih binggung Dan melawan rasa was was saya iaitu adakah benar ada air kencing yang mengenai seluar pelikat saya. Lalu saya lakukan aktiviti seperti biasa namun ada kalanya saya seperti was was lalu saya melangkah untuk mengelak kawasan yang saya syak mengenai titisan najis itu. Tetapi ada pula waktu di mana saya berasa lebih yakin terhadap tanggapan saya bahawasanya tiada najis bahkan saya ada solat di tempat itu. Saya binggung kerana adakah benar kata hati saya atau sebenarnya ianya mainan syaitan kerana saya menjadi was was ketika di luar solat seperti mengelakkan kawasan dikhuatiri najis itu namun ketika solat, saya solat seperti biasa menjadikan saya berfikir syaitan ini seperti sengaja mempermainkan saya ketika di luar solat atau jika benar ada najis di situ, syaitan tidak menghadirkan was was kerana tidak mahu saya menunaikan solat qadar. Saya binggung sebenarnya kerana jika najis sudah menjadi hukmi, adakah hanya kaki saya yang perlu dibasuh jika memijaknya dengan kaki yang basah kerana saya di bahagian dapur rumah/mesin basuh terdapat air bertakung kerana terdapat sedikit masalah air kerap bertakung di tempat itu lalu jika saya memijak najis hukmi dengan kaki yang basah lalu pergi ke dapur Dan memijak pula kawasan air yang bertakung itu, saya khuatir bahawasanya air bertakung itu menjadi najis. Saya doakan agar pihak tuan/puan dapat membantu saya dalam Hal ini dengan izin Allah SWT kerana saya takut seluruh rumah bernajis. Buat masa ini, saya tidak bercadang membasuh lantai rumah yang dikhuatiri bernajis namun saya bercadang untuk menuangkan air di kawasan masuk bilik saya di mana punca was was saya itu Dan mop lantai itu buat sementara menunggu balasan daripada pihak tuan/puan, Insya Allah. Terima kasih, Assalamualaikum.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat 2 perkara yang kami ingin jelaskan:
1. Berasa ada air yang keluar dari kemaluan:
Pertama sekali, sekali lagi, jika berlaku, periksa kemaluan dan pastikan sama ada air yang keluar itu air kencing atau bukan. Seandainya ia bukan air kencing, maka ia hanyalah was was dan hendaklah diabaikan. Kena perasaan was was atau sangkaan tidak menjadikan sesuatu itu bernajis.
Walau bagaimanapun, sekiranya dapat dipastikan dengan YAKIN bahawa betul-betul air kencing, bukan was was, dan jika ia kerap berlaku, iaitu air kencing keluar tanpa kawalan, dibimbangi saudara mengalami masalah kencing tidak lawas. Jika benar, saudara mengalami kencing tidak lawas, saudara perlu belajar bagaimana bersuci bersuci, iaitu berwuduk untuk solat, bagi mereka yang mengalami masalah seperti ini.
Keadaan bagi seseorang yang salisil baul iaitu kencing tidak lawas menurut pandangan para fuqaha' adalah mengambil hukum istihadhah (keluar darah) bagi perempuan. Mereka ini dikategorikan sebagai golongan yang ‘uzur’ dalam erti kata yang lainnya terdapat hukum yang khusus buat golongan ini dalam bab taharah dan ia termasuk dalam perbincangan keadaan seseorang yang daimul hadas iaitu sentiasa berhadas. Maka bagi keadaan sebegini, pesakit perlu merujuk kaedah berikut dalam pelaksanaan ibadah solat:
a) Sucikan diri daripada najis dan gunakan lampin atau seumpamanya pada tempat keluar najis.
b) Setelah itu sucikan diri daripada hadas dengan mengambil wuduk atau mandi wajib. Kedua-duanya mesti dilakukan setelah masuk waktu solat.
c) Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walau pun najis tetap keluar ketika sedang berwuduk dan solat.
d) Satu wuduk hanya boleh digunakan untuk satu solat fardu sahaja dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain.
e) Ketika mengambil wuduk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wuduk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wuduk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wuduk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama air kencing sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wuduk.
Semoga saudara tidak mengalami masalah seperti ini.
2. Persaan was was ada titisan air kencing yang terkena pada lantai:
Sama ada saudara mengalami masalah kencing tidak lawas atau tidak, seandainya ia hanya perasaan was was dan tidak dapat dipastikan ada air kencing yang menitis, maka hendaklah diabaikan. Kesemua perkara yang saudara rasa bernajis, itu pada hakikatnya tidak bernajis.
Sekian, terima kasih.