BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

KEKANGAN DALAM SOLAT

Sy berada di Turkey dan bekerja diatas Barge untuk 4 minggu. 3 hari pertama saya melakukan jamak (memudahkan sy dan persekitaran) dan hari ke 4 dan seterusnya solat seperti biasa. Berikut adalah kekangan saya dalam solat sepanjang disini.

1. Bekerja shift malam (waktu solat lebih pada waktu sy tidur)

2. Berkongsi bilik dgn non muslim (ganggu tidurnya sekiranya sy kerap bangun solat)

3. Ruangan bilik yg agak sempit dan terbatas

SOALAN :

1. Selemah2 pendapat mengenai hukum jamak sekiranya sentiasa berada diatas kenderaan/pengangkutan (barge) adakah dibolehkan untuk jamak sepanjang disini?

2. Hukum qada' solat yg disengajakan kerana tidur atas faktor waktu kerja dan persekitaran sepanjang disini.

3. Cadangan atau penyelesaian dari pihak mufti mengenai permasalahan seperti ini.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebelum menjawab soalan yang diajukan, mengikut mazhab Syafi'i, keharusan solat jamak hanya bagi mereka yang musafir, atau kerana hujan yang boleh memberikan mudarat ketika hendak ke masjid dan masjid tersebut jauh, atau disebabkan sakit yang menyukarkan untuk seseorang solat pada setiap waktu. (al-Taqrirat al-Sadidah)

Adapun solat jamak yang dilakukan Tuan selama 3 hari pertama adalah tidak sah sekiranya Tuan tahu akan bertugas di atas barge lebih daripada 3 hari. Jika tidak diketahui berapa hari semasa bertugas di atas barge maka hari maksimum boleh jamak (begitu juga qasar) adalah sebanyak 18 hari. Berdasarkan situasi Tuan, yang dibenarkan jamak adalah semasa perjalanan ke Turki atau semasa perjalanan pulang ke Malaysia sahaja. Setibanya di Turkey dan Tuan tahu Tuan akan menetap di situ selama 14 hari, maka rukhsah untuk jamak dan qasar terhenti kerana Tuan telah dianggap bermukim.

Seterusnya, bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Tiada pandangan yang mengharuskan jamak berdasarkan situasi Tuan. Juga tiada masalah untuk solat secara sempurna di atas barge/kapal laut mengikut setiap waktu solat sebagaimana yang Tuan telah lakukan.

2. Hukum qada' solat adalah wajib sama ada ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja.

3. Usahakan mencari waktu dan ruang untuk menunaikan solat secara sempurna mengikut waktunya. Tuan juga boleh dapatkan pandangan dan fatwa daripada Jabatan Fatwa Turki bagi mendapatkan pencerahan yang bersesuaian dengan keadaan Tuan di Turki. Jawapan daripada pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor mengikut kesesuaian dan konteks di Malaysia khususnya di Negeri Selangor sahaja. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 20

message user image