Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Tuan,
Pertanyaan saya adakah saya berdosa apabila menghalang suami saya daripada pulang ke rumah yang saya duduki sekarang. Saya berbuat demikian kerana saya khuatir akan keselamatan saya dan anak saya kerana telah beberapa kali rumah saya didatangi oleh beberapa orang yang berbeza (ah long) untuk menuntut hutang daripada suami saya. Mereka juga telah menampal poster (ic suami saya - sila bayar hutang) di depan rumah saya (pintu & dinding). Untuk makluman, saya dan suami adalah pasangan jarak jauh memandangkan saya adalah isteri yang ke2. Saya takut sekiranya kami (saya dan anak) diapa-apakan oleh mereka. Suami saya memang ada berhutang dengan mereka semua dan dengan ramai orang lagi. Mohon pencerahan tuan.
Terima kasih.
Jawapan
Dari sudut hukum, secara asasnya isteri wajib taat pada perintah suaminya dan menghormati status suami sebagai ketua dalam rumahtangga, namun begitu ketaatan isteri kepada suami mempunyai batasannya. Jika ketaatan atau arahan suami itu membawa kepada menyanggahi syariat Islam atau membawa kepada kemudaratan yang besar kepada isteri dan anak-anak maka tiada ketaatan lagi di saat itu. Ini termasuklah jika suami menyuruh isteri menderhakai ataupun menyakiti ibubapa isteri, ataupun memutuskan silatur rahim, ataupun melakukan sesuatu yang memudaratkan diri isteri. Sabda Nabi SAW :
Maksudnya: Dengar dan taat adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam konteks persoalan yang puan utarakan, sekiranya puan menghalang suami untuk pulang ke rumah atas sebab yang boleh memberikan kemudaratan yang besar dan bahaya kepada puan dan anak-anak, maka ia tidaklah menjadi suatu kesalahan. Namun, puan dan suami hendaklah atau wajib mencari alternatif yang lain agar suami dapat bersama puan dan anak-anak bagi suami melunaskan hak dan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa kepada keluarganya. Puan juga boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa atau pihak polis bagi memastikan keselamatan puan, suami dan anak-anak dapat dijamin dan terjaga dengan baik.
Sekian, terima kasih