Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz
Saya nak bertanya.
1. Jika dulu dalam 8 bulan, saya membersihkan najis di lantai daripada nanah setelah ianya kering dengan baby wipe sahaja. Kemudian, baru saya tahu cara membersihkannya dengan mengalirkan air. Perlukah saya membersihkan kembali kawasan itu? Sebab dah banyak kali kawasan itu dimop sekali dengan kawasan lain menggunakan air sabun.
2. Saya membersihkan najis hukmi dengan 1 aliran air sahaja kerana dapat dihilangkan cukup 1 aliran sahaja. Kemudian air itu mengalir dan terkena pada kaki meja. Adakah air itu menyebabkan perabot lain menjadi najis? Dan adakah kain untuk mengelap aliran air itu dikira mutanajis atau air yang suci.
Jawapan
Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya wajib dibersihkan dan disucikan. Ini berdasarkan kepada umum perintah Nabi SAW untuk membersihkan air kencing seorang Badwi yang terdapat di masjid Nabawi. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Siramkanlah kencing tersebut dengan sebaldi air atau sebekas besar yang penuh dengan air. Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan. (Riwayat al-Bukhari)
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
1) Puan tidak perlu membersihkan semula kawasan tersebut pada masa ini, kerana perkara tersebut telah berlaku 8 bulan yang lalu dan telah dicuci beberapa kali. Oleh itu, tidak timbul isu najis di kawasan tersebut. Untuk masa yang akan datang sucikanlah dengan cara yang betul sebagaimana kehendak syarak.
2) Air basuhan najis hukmi yang mengalir dan terkena kaki meja tidak menyebabkan kaki meja tersebut turut bernajis. Kain yang digunakan untuk mengelap aliran air tersebut juga tidak bernajis. Ini kerana telah tiada najis pada kawasan tersebut. Ia hanya menjadikan air yang digunakan menjadi mustakmal dan bukan bernajis atau mutanajjis.
Sekian, terima kasih.