BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan ilmu makrifat kerana bekas suami saya telah mempelajari ilmu tersebut dan kami bercerai adalah kerana saya tidak boleh mengikut dan mengamalkan ilmu tersebut serta banyak pertikaian daripada awal berkahwin sehingga bercerai, saya nak tanya adakah orang yang mengamalkan dengan ilmu makrifat ini tidak perlu untuk solat, solat jumaat dan berpuasa? Kerana bekas suami saya hanya mengamalkan solat daim sahaja iaitu apa yang saya tahu solat melalui pernafasan. Bekas suami saya ada juga berguru dengan seseorang berkenaan dengan ilmu makrifat ini tetapi saya ada rasa yang apa yang dia pelajari ini ada sedikit terpesong kerana apa yang dia katakan "tidak perlu hormat ibu bapa, hormatilah guru kamu" . Bergitu juga dengan guru dia ada juga bagitahu dia yang dimana jika ibu ayah dia tidak boleh mengamalkan amalan ini dan pertikaikan amalan ini dia boleh untuk buang ibu bapa nya. Bergitu juga dengan saya yang baru diceraikan adalah disebabkan pertikaian tersebut dan apa yang saya maklum guru dia juga yang menyuruh dia utk meninggalkan saya. Bolehkah ustaz/ustazah terangkan berkenaan dengan ilmu tersebut. Juga dia pernah cakap yang kesemua ahli keluarga saya mempunyai "saka" dan melarang saya untuk berjumpa keluarga saya . Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Kita sebagai hamba Allah SWT dituntut untuk mencari reda Allah dengan melaksanakan amalan-amalan tertentu. Amalan-amalan tersebut akan lebih baik jika dihiasi dengan tasawuf. Mengikut sebahagian pemahaman orang, cara nak mendalami tasawuf adalah dengan mempelajari ilmu makrifat. Malangnya, kebanyakan ilmu makrifat yang diajarkan di Malaysia ini menyeleweng dan bertentangan dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Berikut adalah beberapa link berkaitan fatwa ajaran makrifat yang diwartakan di Selangor:

- Ajaran dan Fahaman Ilmu Makrifat (Mengenal Allah) dan Ajaran dan Fahaman Mengenal Diri Iaitu Ilmu atau Ajaran Peninggalan Tok Kenali Kelantan oleh Mohd Yusof Che Wook: https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/28/fatwa-ajaran-dan-fahaman-ilmu-makrifat-mengenal-allah-dan-ajaran-dan-fahaman-mengenal-diri-iaitu-ilmu-atau-ajaran-peninggalan-tok-kenali-kelantan-oleh-mohd-yusof-che-wook/

- FAHAMAN DAN AJARAN MAKRIFAT OLEH ISMAIL BIN ARIFFIN @ LEPAT: https://www.muftiselangor.gov.my/2024/06/20/fahaman-dan-ajaran-makrifat-oleh-ismail-bin-ariffin-lepat/

Bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Ilmu Makrifat yang dipelajari dan diamalkan oleh bekas suami puan adalah menyeleweng dan bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini dapat dilihat apabila beliau menafikan kewajipan syariat seperti solat dan puasa. Sedangkan tasawuf yang sebenar tidak menafikan kewajipan syariat. Bahkan untuk bertasawuf masih perlu kepada syariat.

2. Ajaran Islam dan tasawuf yang sebenar tidak akan mengajak kepada perkara yang bertentangan dengan prinsip Islam. Seseorang guru yang mengetahui dan menguasai ilmu makrifat atau tariqat hendaklah mengajar pengikutnya perkara yang jelas tentang Islam dan tidak bertentangan dengan prinsip Islam. Jika berlaku sebaliknya maka, guru tersebut merupakan guru yang sesat. Tambahan pula guru sebegini hanya mengajar dan menyuruh pengikutnya perkara yang bertentangan dengan Islam.

3. Guru makrifat atau tariqat yang menghasut supaya membenci dan meninggalkan ahli keluarga serta menuduh mereka dengan tuduhan tertentu seperti saka adalah sangat jelas guru yang sesat dan membawa perpecahan.

Dinasihatkan kepada pihak Puan untuk melaporkan perkara ini dengan segera kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Selangor dan juga Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk tindakan lanjut berkaitan ajaran ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 48

message user image