Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya soalan kpd ustaz. Ada beberapa persoalan. Situasinya begini, ank saya tido petang. Kemudian dia terjaga. Ayahnya ambil dan dukung dia. Selesai solat, saya ambil anak sy drpd ayahnya dan dukung dia. Kemudian sy terasa seluar ank saya basah di bahagian belakang (punggung). Saya cium baunya seperti air kencing. Saya syak anak saya bocor. Tapi anak saya terus sambung tidur sambil saya mendukungnya. Dalam pada itu, tangan saya yang pegang seluar basah kena kencing anak saya tadi sudah kering. Saya letakkan semula dia di atas tilam (dengan lapik). Situasi kedua, suami saya masuk bilik air dan meminta saya tolong hulurkan tuala kepadanya. Disebabkan tangan yang sudah kering, saya terlupa untuk membasuh tangan saya disebabkan kena najis anak tadi. Jadi saya terus ambil tuala gunakn tangan yang sama pegang najis anak tadi dan hulurkan tuala itu kepadanya. Tuala itu keadaannya seperti lembap2 basah sedikit. Selepas daripada itu, barulah sy teringat yang saya tak basuh tangan sebelum ambil tuala tu. Sy ada beberapa persoalan di sini,
1. Tangan kering saya yang terkena najis basah anak saya tadi sudah menjadi najis. Tetapi kemudian, tangan yang bernajis itu sudah kering (tanpa membasuh). Lalu memegang tuala yang lembap basah. Adakah tuala yang dipegang itu sudah menjadi najis dan perlu dibasuh?
2. Jika tuala itu dikira bernajis, suami yang memakai tuala tersebut selepas mandi dan mengelap badannya, adakah seluruh badannya dikira bernajis dan perlu mandi dan bersihkan badan semula?
3. Suami sudah pakai kain baru & duduk di sofa, baring atas tilam. Jika anggota badannya tadi dikira najis, adakah kain yang dipakai serta tempat yg suami duduk seperti sofa & tilam turut dikira bernajis?
Maaf sekiranya terlalu banyak soalan. Semoga pihak tuan dapat memberi pencerahan kepada saya tentang situasi ini.
Jawapan
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan:
Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci.
Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
1) Tuala tersebut tidak bernajis dan tidak perlu dibasuh kerana tidak ada najis padanya.
2) Suami tidak perlu mandi dan membersihkan semula badannya kerana tiada najis padanya.
3) Anggota badannya tidak bernajis dan tidak menajiskan yang lain seperti pakaian yang dipakai, sofa dan juga tilam.
Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak dapat dipastikan dengan jelas ain najis yang kelihatan, maka tidak perlu basuh dan disucikan. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was, maka ianya tidak bernajis dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
Sekian, terima kasih.