Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Saya nak bertanya yang arif. Baru-baru ni saya dan suami ada bergaduh. Suami baru bangun tidur pada masa itu. Semasa bertengkar tentang saya penat urus semua kerja rumah termasuk persekolahan anak-anak. Dan saya marah-marah anak-anak. Suami marah kerana saya selalu marah anak. Saya berkata, selepas ni saya minta suami uruskan semua urusan yang saya buat selama ni. Suami menjawab "kalau aku tau buat semua ni, aku dah ceraikan kau". Selepas itu suami sambung tidur semula. Suami memang tak tahu uruskan kerja-kerja rumah.
Soalan saya, adakah talak jatuh? Saya berharap dapat jawapan atas status saya. Saya keliru dan terkejut
Jawapan
Merujuk kepada persoalan di atas:
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ucapan suami kepada puan: "Kalau aku tau buat semua ni, aku dah ceraikan kau" adalah berbentuk pernyataan bahawa jika dahulu dia tahu perlu melakukan semua itu, maka dia dah ceraikan puan. Tapi apa yang berlaku, memandangkan dahulu dia tidak mengetahui perkara itu, maka dia tidak menceraikan puan. Ucapan itu tidak bermaksud bahawa suami telah menceraikan puan.
Walau bagaimanapun, puan boleh menghubungi pihak Pejabat Agama Islam Daerah terdekat untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.
Sekian, terima kasih.