Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, saya mempunyai pertanyaan berkenaan umrah. Saya baru melaksanakan umrah dan telah didatangi haid semasa umrah. Semasa di miqat, saya telah berniat syarat. Setelah suci dari hadas besar, saya meneruskan rukun seterusnya seperti tawaf, saie dan bertahalul. Namun setelah sampai di hotel, saya menyedari darah haid telah keluar semula.
Semasa tawaf, saya agak kurang pasti dan merasakan seperti ada cecair keluar tetapi saya teruskan untuk menyelesaikan tawaf, saie dan tahalul. Berdasarkan situasi di atas, adakah umrah saya sah atau adakah saya perlu membayar dam dan perlu menggantikan umrah tersebut? Mohon pencerahan.
Jawapan
Merujuk kepada kenyataan serta situasi yang dinyatakan, besar kemungkinan darah haid telah keluar semasa puan melakukan tawaf. Oleh itu terdapat 2 penyelesaian yang puan boleh pilih:
1. Menurut mazhab Syafi'i: Berdasarkan kepada niat bersyarat yang puan lakukan, seandainya niat bersyarat itu mengatakan bahawa seandainya puan masih dalam keadaan haid dan perlu balik ke Malaysia, puan menjadi halal, maka puan dianggap halal secara automatik ketika meninggalkan Tanah Haram Mekah. Umrah yang dilakukan dianggap sebagai tidak sah kerana melakukannya dalam keadaan haid. Akan tetapi puan dikenakan dam kerana telah menggunting rambut dalam keadaan ihram. Dam yang dikenakan boleh dipilih diantara: 1. Puasa selama tiga hari, 2. Beri 6 orang miskin sebanyak 10 Riyal seorang (di Mekah, boleh kirim) 3. Menyembelih seekor kambing (dilakukan di Tanah Haram Mekah) .
2. Menurut mazhab Hanafi: Berdasarkan mazhab Hanafi diharuskan untuk melakukan tawaf dalam keadaan haid dan sah, namun dikenakan dam menyembelih seekor kambing yang dilakukan di Tanah Haram Mekah (boleh kirim). Pilihan kedua ini disarankan bagi mereka yang pertama kali melakukan ibadah umrah untuk melepaskan kewajipan ibadah tersebut.
Sekian, Terima Kasih.