Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ... saya ada satu kemusykilan tentang jualan nombor bertuah dengan tujuan untuk kutipan dana tabung sekolah, orang ramai membeli nombor dengan niat untuk derma sambil kalau ada rezeki akan dapat hamper atau hadiah. Hadiah hadiah tersebut adalah hasil sponsor pelbagai pihak. Saya minta kepastian tentang hukum jualan nombor tersebut. Mohon pencerahan
Jawapan
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! sesungguhnya meminum arak, perjudian, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu tergolong dalam kalangan orang-orang yang berjaya.
Secara umum cabutan bertuah adalah diharuskan sekiranya tidak melibatkan sebarang pembayaran untuk menyertai permainan tersebut. Namun sekiranya cabutan bertuah ini melibatkan pembayaran, maka ia dianggap sebagai judi walaupun tujuan asalnya adalah untuk mengumpulkan dana bagi pihak sekolah.
Sekian, terima kasih