BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Apakah hukum menunaikan solat Asar pada pukul 7 petang atau waktu yang dekat dengan Maghrib atas sebab tertentu dan bukan sengaja melewatkan?


message user image

Jawapan  

Waalaikumsalam WBT,

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Terima kasih kepada tuan bertanyakan soalan tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 103

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu ialah suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas golongan yang beriman.

Menjawab persoalan yang diajukan, perlu diketahui bahawa sebab-sebab yang dimaafkan jika seseorang itu melewatkan solat, sepertimana dalam hadis Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَها

Maksudnya: Barangsiapa yang terlupa untuk solat, maka hendaklah dia mengerjakan solat apabila teringat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam konteks persoalan saudara, secara asasnya, tidak mengapa jika seseorang itu melewatkan solat sehingga ke hujung waktunya sekiranya dia mempunyai sebab yang tertentu yang dibenarkan oleh syarak. Imam al-Nawawi menyatakan, berkenaan hukum masalah ini, boleh untuk dilewatkan solat sehingga ke penghujung waktunya tanpa sebarang perselisihan ulama’, selama mana setiap rakaat solat dapat ditunaikan dalam waktunya. Akan tetapi, sekiranya tidak mempunyai sebarang sebab yang dibenarkan oleh syarak, maka perbuatan melewat-lewatkan itu adalah berdosa. 

Perlu diingatkan, Allah SWT sangat suka dengan hamba-Nya yang mengerjakan solat pada awal waktu. Ini disebutkan dalam hadis Abdullah bin Mas‘ud RA, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang paling disukai oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW bersabda:

الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا

Maksudnya: Menunaikan solat pada waktunya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini menggambarkan kepada kita betapa pentingnya untuk disempurnakan ibadah solat ini dengan sebaiknya, sehingga ia akan menjadi perkara pertama yang akan disoal kelak pada hari akhirat. Di dalam hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَـابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: Sesungguhnya amalan yang pertama kali dihisab daripada seorang hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka beruntung dan selamatlah dia. Namun, jika rosak, maka rugi dan celakalah dia. (Riwayat al-Nasa’i)

Semoga Allah SWT kurniakan semangat dalam diri kita untuk terus menjaga solat dengan sebaiknya.

 والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 21

message user image