BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Jika seseorang secara tidak sengaja menyebabkan berlaku kerosakan kepada harta benda orang lain, contohnya  terlanggar kereta jiran tetapi tidak berjumpa dengan pemilik kenderaan untuk memohon maaf dan tidak membayar ganti rugi atas kerosakan harta pemilik, adakah dia dikira berhutang dan tidak boleh menunaikan solat jamak dan qasar ketika bermusafir.

Sekian, saya dahului dengan ucapan terima kasih kepada pihak tuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أ له وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perbuatan menyebabkan kerosakan kepada harta benda orang lain secara tidak sengaja juga termasuk dalam perkara hutang yang perlu dilangsaikan sesama manusia mengikut kepada budi bicara kedua-dua belah pihak. Ini kerana terdapat kaedah usul fiqh: 

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: Kemudharatan mestilah dihilangkan.

Adapun syarat sah solat jamak dan solat qasar ketika bermusafir tidaklah bergantung kepada seseorang itu mempunyai hutang dengan orang lain ataupun tidak, akan tetapi ia bergantung kepada jarak perjalanan seseorang dan jenis musafir.

Orang yang berhutang masih boleh menunaikan solat jamak dan qasar ketika bermusafir. Namun, harus berusaha segera menyelesaikan hutangnya atau mengambil langkah yang munasabah untuk melunaskannya kerana hak manusia (harta benda) adalah satu perkara yang serius dalam Islam seperti mana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 282: 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى فَٱكْتُبُوهُ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu melakukan urusan dengan hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, maka hendaklah kamu menuliskannya (iaitu kewajipan memenuhi amanah dan menyegerakan pembayaran jika tempoh telah tiba).

 والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 17

message user image