Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan Mengenai Hukum Komisen dalam Urusan Pinjaman Bank Konvensional
Assalamualaikum Tuan Mufti,
Saya berharap Tuan Mufti berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Saya ingin memohon penjelasan mengenai kerjasama yang saya jalankan dengan rakan perunding hartanah. Dalam kerjasama ini, skop kerja saya adalah untuk mendapatkan pelanggan dan mengatur temujanji sahaja, sementara rakan saya akan menguruskan urusan viewing dan penutupan jualan, termasuk memproses dokumen untuk memohon pinjaman bank. Kami akan berkongsi komisen 50-50 jika berjaya menjual hartanah.
Saya ingin bertanya:
Apakah hukum komisen saya jika pelanggan mengambil pinjaman dari bank konvensional? Dan bagaimana jika saya tidak mengetahui sama ada pelanggan itu mengambil pinjaman dari bank konvensional atau bank Islam?
Adakah kami terlibat dalam riba dalam situasi ini? Dan apakah status hukum komisen yang kami terima? Adakah ia haram atau halal?
Saya sangat menghargai pencerahan dan panduan Tuan Mufti dalam hal ini.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umum, membantu atau memberikan perkhidmatan untuk mendapatkan pinjaman konvensional adalah berdosa kerana bersubahat dalam perkara dosa dan maksiat. Oleh itu, upah yang diperolehi atas perkhidmatan tersebut juga haram.
Manakala upah yang diperolehi hasil daripada penjualan hartanah itu diharuskan. Namun dibimbangi tidak akan mendapat keberkatan jika turut membantu untuk mendapatkan pinjaman yang mengandungi unsur riba bagi penjualan hartanah tersebut.
Menjawab soalan yang diajukan:
1. Diharuskan untuk menerima komisen penjualan hartanah daripada pelanggan yang mengambil pinjaman daripada bank konvensional. Ini kerana ia adalah dua perkara yang berbeza. Lebih-lebih lagi sekiranya tuan tidak mengetahui sama ada pinjaman itu daripada bank konvensional atau tidak.
2. Komisen yang diperolehi daripada penjualan hartanah itu tidak melibatkan riba. Hukumnya adalah harus dan halal. Namun jika terlibat di dalam mendapatkan pinjaman konvensional bagi penjualan hartanah tersebut, maka dibimbangi hilang keberkatannya.
Sekian, terima kasih.