Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada soalan berkenaan lafaz taklik.
Suami saya lafazkan seperti di bawah.
"Macam awak cakap sebelum ini. Jangan awak buat sepertimana yang saya buat sebelum ini, sebab awak pun boleh buat perkara yang sama. Tidak kira dengan pengetahuan saya atau tidak, akan jatuh talak"
Untuk hal suami saya di belakang saya, tidak semua perkara saya tahu kerana kami perkahwinan jarak jauh. Adakah dengan syak atau pandangan logik memberi makna di atas lafaz suami saya. Bila saya kongsikan tentang artikel talak dan cerai, dia mempersoalkan saya berkaitan mesej di atas dengan mengatakan "adakah saya sebut CERAI tersebut?"
Adakah sah taklik di atas walaupun suami tidak menjelaskan dengan terang perbuatan tersebut?
Semoga tuan/puan dapat merahsiakan identiti saya serta persoalan saya dari dipaparkan pada khalayak.
Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Lafaz yang suami puan nyatakan di atas adalah suatu lafaz yang tidak membawa kepada talak secara taklik kerana ungkapan tersebut berbentuk perkhabaran dan juga suatu lafaz yang tidak jelas apakah yang dimaksudkan oleh suami puan dan suami puan juga tidak menyatakan dengan jelas apakah perbuatan atau perkara yang bila isteri lakukan akan menyebabkan jatuhnya talak.
Sekian terima kasih