BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum mufti, saya adalah content creator & youtuber yang selalu membuat konten bola sepak dan konten lawak.

Soalan saya

1. Apakah hukum membuat "meme" atau "troll" 

2. Jika saya sekadar membuat meme seperti meletakan muka jurulatih atau pemain yang kalah perlawanan mereka di meme lawak adakah dibenarkan ? Saya tidak mendapat kebenaran mereka kerana sudah pasti mereka tidak mengenali saya

3. Jika tidak dibenarkan, apakah saya perlu buat ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, soalan 1,2 dan 3 adalah berkait antara satu sama lain; 

Merujuk kepada Kamus Oxford pula, troll adalah satu perbuatan yang bersifat menyerang dan provokatif yang dimuat naik sebagai catatan (posting) di media sosial bagi membangkitkan perasaan marah dan kecewa seseorang. Dalam maksud biasa khususnya warga netizen, troll sama ada dalam bentuk ayat, video, gambar, karikatur atau grafik disebar luaskan dengan di dalamnya mengandungi unsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek nama, tubuh badan dan perilaku. Dapat difahami bahawa kebanyakan yang berlaku pada kegiatan troll dan meme didapati mengandungi unsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek nama, tubuh badan dan perilaku, menghasut, menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhkan maruah individu yang menjadi mangsa troll. Selain itu, amat jauh sekali daripada sifat seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Rasulullah SAW bersabda:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Maksudnya: Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. (Riwayat al-Tirmizi)

Justeru, perbuatan troll yang membawa ciri-ciri menyalahi syarak seperti yang dinyatakan di atas adalah DILARANG dan boleh membawa kepada dosa lebih-lebih lagi jika orang yang ditrollkan itu tidak mengetahui perkara tersebut. Namun demikian, jika yang dilakukan hanya sekadar sindiran dengan bahasa kiasan tanpa menjatuhkan maruah peribadi seseorang, tetapi dengan niat sebagai teguran atau nasihat secara berhikmah, maka ia tidak mengapa. Oleh itu, jika tuan telah menyebarkan meme dan troll tersebut maka tuan perlu menghentikan penyebaran tersebut dari tersebar secara meluas dan memohon maaf kepada orang yang ditrollkan itu jika mampu. Semoga Allah SWT mengurniakan hidayah dan menyelamatkan kita semua daripada terjebak ke dalam hal sedemikian. Wallahu a’lam. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 24

message user image