BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,ustazah

Saya ada kemusykilan berkaitan pusaka arwah kakak saya.Kakak sy tidak mempunyai zuriat dan juga tidak bekerja. Semasa hayatnya dia menyimpan duit yang diberikan oleh suaminya dalam tabung haji dan sebahagiannya disimpan dirumah. Barang kemasnya juga ada. Duit simpanan ini dia selalu tegaskan bukan milik dia,dia hanya tolong simpan bagi pihak abg ipar saya (suaminya) sahaja. Persoalan saya, adakah kami adik beradik berhak menerima pusaka daripada simpanan dan barang kemas kakak saya tersebut. suami kakak saya masih hidup dan dia pun pernah beritahu simpanan itu duit dia bekerja sedangkan kakak saya tidak bekerja. kami adik beradik masih ada 3 org lelaki dan 1 orang perempuan.

Mohon penjelasan daripada pihak ustaz. terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Secara umumnya, setiap harta peninggalan milik si mati adalah dihukumkan sebagai harta pusaka. Maka harta-harta tersebut perlu difaraidkan kepada waris-waris yang berhak menerimanya. Mana-mana harta yang berada di dalam simpanannya yang merupakan milik orang lain hendaklah dipulangkan kepada pemiliknya.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh si mati bahawa duit simpanan Tabung Haji itu adalah milik suami, maka duit simpanan tersebut adalah milik suami dan hendaklah diserahkan kepadanya. Manakala harta-harta lain seperti barang kemas yang menjadi milik si mati adalah harta pusakan yang wajib difaraidkan kepada ahli waris.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 22

message user image