Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Kebelakangan ini kecoh di media sosial seperti tiktok yang menyatakan GISB Holdings menjalankan kegiatan aktiviti yang mengelirukan dan ada pihak yang mengatakan mereka sesat. Adakah benar perkara ini? Sebab kawasan saya tinggal di bandar country homes rawang banyak kedai-kedai mereka dan saya pernah membeli di kedai mereka. Hal ini menambahkan kebimbangan saya kerana ada pula yang membangkitkan isu air berkat yang konon ianya air celupan janggut atau kaki pemimpin mereka yang digunakan untuk membuat roti di bakery mereka. Persoalan saya adakah pihak mufti telah membuat siasatan dan adakah perkara-perkara yang dibangkitkan di media sosial itu benar atau sebaliknya. Mohon pencerahan terima kasih.
Jawapan
Menjawab soalan yang diajukan, berdasarkan laporan siasatan serta kajian yang dibuat mendapati bahawa GISBH masih mengamalkan Aurad Muhammadiyyah yang diamalkan oleh Kumpulan Al-Arqam yang telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada akidah Islam sebenar. Mereka juga didapati telah mengeksploitasikan kanak-kanak di rumah-rumah amal untuk mengutip dana daripada orang awam secara salah, di samping mempergunakan kanak-kanak sebagai tenaga kerja di tempat-tempat perniagaan mereka.
Fatwa berkaitan kesesatan GISBH telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Sila rujuk lama sesawang:
https://www.muftiselangor.gov.my/2024/10/17/fahaman-ajaran-pegangan-atau-amalan-global-ikhwan-servicesand-business-holdings-sdn-bhd-gisbh-danrangkaiannya/
Sekian, terima kasih.