Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tn/Pn.
Soalan dan kemusykilan saya sebenarnya buatkan saya tidak solat hampir sekian lamanya. Saya mohon dengan Allah SWT untuk tidak terus berbuat dosa, tapi saya gagal untuk temukan jawapan.
Saya harap soalan saya dapat dijawab dan dengan jawapan ini saya dapat tunaikan solat semula.
Soalan:
1. Acap kali saya rasakan. batu tawas dan deodorant yang dipakai dibahagian ketiak selepas cuci dengan sabun berkali-kali, seakan rasa kesat, seolah2 ada air yang menghalang dari kena kulit. Buatkan saya rasa sukar, malas dan kadang2 tak mandi wajib untuk angkat hadas besar. Sedangkan batu tawas dan deodorant hari-hari kita pakai untuk elak bau badan. Jadi bagaimana penyelesaian kepada perkara ini? Mandi hadas adalah kunci pertama untuk solat.
2. Kita tahu kencing dewasa adalah najis mutawasittah tak sah dibawa solat. Dalam kes ini, sebagai Lelaki, apabila berhadas kecil, cara saya beristinjak adalah, habiskan sisa seboleh mungkin, berdehem, urut sedalam nya dari pangkal bahagian ke zakar yang kita mampu, dan tolak ke luar. Saya ulang langkah-langkah tersebut berulang kali dan lap dengan tisu bersih kesat. Tetapi, sebagai seorang yang berbadan yang gempal dan punyai zakar yg kedalam tanpa ereksi, saya pernah bereksperimentasi, selepas berhadas kecil dan saya ulang semua langkah tersebut, saya cuba duduk atas kerusi. Hasilnya, semua "pressure dari berat badan, otot dan lemak sekeliling yang menekan bahagian alat kelamin, seakan menolak habis sisa air kencing ke kepala zakar. Saya yakin, benda ni bukan saya seorang sahaja yang alami, pasti semua orang juga alami sedar atau tanpa sedar. Susah bila perkara ni terjadi, bila kerja, bila buat aktiviti yang sibuk, solusi dia perlu basuh zakar dan seluar dalam setiap kali nak solat. Sedangkan kita dah usaha sehabis baik buang sisa kencing dalam zakar dan air sisa tu terjadi dengan automatik, bukan kita yang sengaja terkencing. Jadi ini sebenarnya punca utama sehingga sekarang saya tak solat.
Disebabkan ini, solusi yang saya lakukan, saya tinggalkan solat sewaktu kerja (sebab saya memang yakin, tak buat apa-apa pun akan keluar juga sisa kencing akhirnya) dan saya qada' solat Zohor, Asar, dan Maghrib di rumah. Tapi saya penat, akhirnya saya tinggalkan solat.
3. Kes 2 diatas sama seperti ini, cumanya untuk air mazi. Air mazi memang akan keluar bila kita rasa syahwat atau aktif bersukan. Dan air mazi, pun sama konsepnya, secara automatik keluar samada kita rasa ianya keluar, atau pun tidak. ini pun punca saya malas nak solat bila ada masa saya berasa syahwat sekejap dan tak tahu sama ada air mazi keluar atau tidak. Sebabnya, air mazi bila lama2, dia akan kering dan kita tak akan perasan langsung. Jadi saya ambil pendekatan yang saya sentiasa keluar air mazi, biarpun tak perasan atau tak rasa ianya keluar.
Inilah antara punca saya tak solat hampir setengah umur saya. saya harap, dengan ini pihak mufti dapat jawab berpandukan agama. Saya mohon, untuk cari cara seperti mana orang lain hidup, boleh solat seperti biasa. Tapi saya buntu. Saya tak mahu lagi jadi bahan api neraka.
Saya mohon juga pihak tuan/puan rahsiakan idenititi saya.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Ijmal.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Tiada masalah untuk menggunakan deodorant. Tubuh badan yang dikenakan padanya deodorant atau batu tawas dan telah disucikan dengan sabun tidaklah lagi menghalang air sampai ke anggota badan ketika mandi wajib. Mungkin rasa kesat adalah disebabkan tindakan kimia kena pada anggota badan tersebut.
2. Air yang keluar daripada kemaluan itu kemungkinan air wadi atau kesan peluh pada bahagian tersebut. Jika memang yakin ia adalah najis seperti air wadi dengan mempunyai warna atau bau atau rasa, maka perlu dibersihkan. Jika tiada warna, bau dan rasa serta ragu-ragu air apakah itu, maka ia dikira bersih dan suci. Bagi mengelakkan keraguan dan masalah ari wadi, boleh cuba untuk memakai pantyliner atau pelapik kain dalam seluar dalam atau jua cara yang menghalang kena pada pakaian dalaman. Gantikan pelapik tersebut dengan pelapik yang baru sebelum menunaikan solat fardu.
3. Masalah ketiga ini seperti yang diterangkan pada masalah no 2.
Dinasihatkan supaya memantapkan ilmu fardu ain bagi menghilangkan segala keraguan.
Sekian, terima kasih.