BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Saya disini ingin bertanya 2 soalan iaitu

1.Apakah hukum saya menggunakan duit bantuan persekolahan untuk kegunaan lain seperti beli tayar motor dan sebagainya,adakah saya perlu memulangkan nya kepada pihak kerajaan duit itu dan adakah saya dikira orang yang tidak amanah

2.Contoh saya kena tipu RM100 tapi saya tipu orang lain yang tidak bersalah pulak RM100 tapi masa itu saya berfikir orang bertanggungjawab disana(akhirat) ialah orang yang tipu saya RM100 itu.Apakah dibolehkan saya bayar pahala orang yang tipu saya RM100 itu dengan pahala orang yang saya tipu RM100 itu? Kerana kalau tuan tidak halal kan RM100 itu maka perlu dibayar dengan pahala kalau pahala 

Sekian Terima Kasih


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Soalan pertama:

Secara umum tujuan asal pemberian Pemberian Bantuan Persekolahan sudah pastilah khusus untuk perkara-perkara yang ada kaitannya secara langsung dengan persekolahan anak seperti membeli buku, pakaian sekolah, yuran, alat tulis, dan sebagainya yang berkaitan dengan keperluan pendidikan anak-anak

Jika duit tersebut digunakan untuk keperluan lain selain daripada tujuan asal, maka ia boleh menimbulkan isu kejujuran dan amanah. Ini kerana pada dasarnya, apabila kita menerima sesuatu bantuan dengan tujuan tertentu, kita diamanahkan untuk menggunakannya mengikut tujuan yang telah ditetapkan. Menggunakannya untuk tujuan lain, seperti membeli tayar motor atau lain-lain perbelanjaan yang tiada kaitan secara langsung dengan persekolahan anak bererti kita telah menggunakan amanah itu tidak mengikut niat asal pemberi. 

Namun, ada juga situasi yang boleh dipertimbangkan oleh syarak seperti keperluan mendesak seperti dalam keadaan kewangan keluarga sangat terhad dan wang bantuan tersebut terpaksa digunakan untuk membeli tayar motor bagi memastikan keselamatan keluarga, tambahan pula jika motor itu digunakan untuk menghantar anak ke sekolah atau mencari rezeki, Maka dalam keadaan ini, penerima harus untuk menggunakan duit bantuan untuk keperluan itu tetapi perlu berniat untuk menggantikan semula jumlah wang yang digunakan supaya ia dapat digunakan mengikut tujuan asal iaitu pendidikan anak-anak.

Isu memulangkan semula duit kepada kerajaan mungkin timbul jika seseorang merasa dia tidak layak menerima bantuan tersebut atau seseorang telah menggunakan bantuan itu untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Namun, secara praktikal, memulangkan bantuan yang diterima terus kepada kerajaan merupakan perkara yang agak sukar untuk dilaksanakan. Sebaliknya, individu tersebut boleh berusaha menggantikan jumlah tersebut dan menggunakannya semula bagi keperluan pendidikan anak-anak, seperti membeli buku atau alat tulis pada masa depan atau menyerahkan wang tersebut kepada orang yang dirasakan sesuai dan layak menerima bantuan tersebut.

Apakah dikira tidak amanah jika penerima menggunakan bantuan yang diterima untuk tujuan selain daripada tujuan asalnya, hukum amanah bergantung pada niat dan cara seseorang itu menguruskan amanah yang diberikan kepadanya. Dalam kes ini, jika seseorang secara sedar dan sengaja menggunakan duit bantuan untuk tujuan yang bukan keperluan anak-anak dan pendidikan mereka, ia boleh dianggap sebagai tidak amanah. Ini kerana dia telah mengkhianati amanah tanpa mengikut tujuan asal amanah tersebut. Tetapi jika dalam keadaan sedar seseorang menggunakan bantuan tersebut untuk keperluan lain yang lebih mendesak serta berniat serta berusaha untuk menggantikan semula wang yang telah digunakan maka inilah sikap sebenar orang yang beramanah terhadap amanah yang diberikan kepadanya.

Soalan kedua

Secara umumnya suatu kezaliman tidak boleh dibalas dengan perbuatan yang sama atau serupa. Jika seseorang ditipu sebanyak RM100, ia tidak membolehkan kepada orang yang ditipu itu untuk menipu orang lain pula. Ini adalah kerana:

Konsep keadilan dalam Islam menuntut agar setiap orang bertanggungjawab atas perbuatan masing-masing. Orang yang menipu orang lain dengan jumlah sebanyak RM100 itu akan bertanggungjawab atas perbuatannya di akhirat, dan jika orang yang ditipu itu menipu pula orang lain maka dia juga akan bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan terhadap orang lain. Tambahan pula tidak ada konsep “membalas dendam” dalam Islam. Perbuatan menipu orang lain yang tidak terlibat akan dianggap sebagai satu kezaliman baru, bukan sebagai satu bentuk “balasan” atas penipuan yang diterima. Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 164:

وَلَا تَكۡسِبُ كُلُّ نَفۡسٍ إِلَّا عَلَیۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرۡجِعُكُمۡ فَیُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِیهِ تَخۡتَلِفُونَ

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.

Ayat ini sangat relevan dalam membahaskan topik balasan kezaliman. Ia menekankan bahawa dalam Islam, setiap orang bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri dan tidak boleh membenarkan dirinya melakukan kezaliman hanya kerana pernah menjadi mangsa kezaliman. Penipuan tidak boleh dibalas dengan penipuan, kerana akhirnya setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Sebagai Muslim, kita dianjurkan untuk berlaku adil dan berusaha menyelesaikan masalah dengan cara yang terbaik, sambil mengingatkan diri bahawa keadilan yang sebenar akan diperoleh di akhirat.

Balasan yang akan diterima tidak semudah kiraan matematik berdasarkan logik, memang benar apabila orang yang dizalimi tidak menghalalkan duit yang ditipu maka orang yang menipu akan dihukum dengan membayar semula segala kezalimannya diakhirat kelak, transaksi diakhirat bukanlah dengan nilaian duit tetapi dengan amalan kebaikan yang dilakukan didunia dan jika telah habis segala amalan baik maka amalan buruk dan dosa  orang yang dizalimi akan diberikan kepada orang menzaliminya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 12

message user image