Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya akan travel ke luar negara dan tidur di Lokasi A selama 4 hari (tidak termasuk hari perjalanan). Pada hari kedua saya akan pergi ke Lokasi B yang jauhnya lebih 2 marhalah dan menghabiskan masa di Lokasi B sepanjang hari, dan pulang semula ke Lokasi A untuk tidur di hotel yang sama. Bolehkah saya solat jamak qasar sepanjang berada di Lokasi A?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, seseorang yang musafir dan berniat menetap selama tiga hari di destinasi musafirnya tidak termasuk hari sampai dan hari pulang, maka pada ketika ini membolehkannya mengambil rukhsah solat jamak dan qasar. Adapun bagi kes ini, tidak dibolehkan solat jamak dan qasar di lokasi A kerana telah berniat menetap selama 4 hari. Namun, ketika pergi ke lokasi B yang jaraknya melebihi 2 marhalah dibenarkan solat jamak dan qasar.